Ahli-ahli Jawatankuasa Pemandu Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang Bidang Ekonomi Utama Negara (GKL/KV-NKEA), diketuai Pengerusi YB Dato’ Raja Nong Chik Dato’ Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, melawat beberapa tapak pembinaan Projek MRT Lembah Klang pada 25 Mac 2013.
Jawatankuasa itu menyaksikan secara langsung kemajuan yang telah tercapai dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di tapak pembinaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Dato’ Azhar Abdul Hamid dan Pengarah Projek MRT, En Marcus Karakashian memberi taklimat ringkas kepada Jawatankuasa Pemandu tentang aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Antara tapak pembinaan yang dikunjungi adalah Bandar Tun Hussein Onn di mana pelancar gantri yang pertama untuk projek sedang dipasang, Kuarters Pekerja MRT Corp Kompleks Cheras bersebelahan Cheras Sentral (dahulunya dikenali sebagai Plaza Phoenix), Syaf Pelancaran Cochrane di mana Mesin Pengorek Terowong Pembolehubah Ketumpatan yang pertama sedang dipasang, dan tapak pembinaan stesen Pasar Rakyat yang terletak di tengah-tengah kawasan Tun Razak Exchange yang bakal dibangunkan.
Projek MRT Lembah Klang merupakan Projek Penggerak Ekonomi untuk GKL/KV-NKEA.









