PADA 22 Januari 2014, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menerima lawatan daripada 11 wartawan dari Indonesia.
Lawatan ini dianjurkan oleh PT Mass Rapid Transit Jakarta (MRT Jakarta) yang ingin menunjukkan kepada wakil media bagainmana Malaysia melaksanakan Projek Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang. MRT Jakarta kini sedang membina laluan MRT yang pertama di ibu kota Indonesia.
Delegasi tersebut terdiri daripada wakil-wakil organisasi media Indonesia seperti The Jakarta Post, Kompas.com, Tempo, Detik.com dan Trans TV. Delegasi ini diketuai Pengarah Presiden MRT Jakarta, Bapak Dono Boestami.
Selepas taklimat oleh Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp Encik Amir Mahmood Razak di Pusat Informasi MRT Taman Tun Dr Ismail yang juga dihadiri Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Encik Haris Fadzilah Hassan, delegasi dibawa ke tapak pembinaan Stesen MRT KL Sentral di mana mereka turun ke dalam kekotak stesen ke tingkat ruang legar.
Di tapak pembinaan itu, para delegasi dapat melihat dua buah mesin pengorek terowong yang telah berjaya menjalankan kerja-kerja pengorekan terowong berkembar dari Portal Semantan. Mesin-mesin ini sedang menjalani proses penyelenggaraan sebelum dilancar semula untuk mengorek terowong ke arah Stesen MRT Pasar Seni.
Selepas KL Sentral, delegasi dibawa ke tapak pembinaan Stesen Pasar Rakyat, iaitu stesen bawah tanah yang paling untuk Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang. Dari galeri pelawat, delegasi dapat melihat Mesin Pengorek Terowong Variable Density yang pertama di dunia yang baru-baru ini telah menembus dinding di Stesen Pasar Rakyat selepas menjalankan kerja-kerja pengorekan terowong dari Stesen Cochrane.
Lawatan diakhiri dengan makan tengah hari di Pusat Informasi MRT Taman Tun Dr Ismail.
Pada sebelah petang, Encik Amir telah mengadakan sesi tertutup bersama Bapak Boestami dan kakitangannya di mana MRT Corp telah berkongsi pengalaman mengendalikan hal-hal berkaitan pihak berkepentingan dan perhubungan awam.









