Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) telah diberi penghormatan sebagai rakan kolaborasi rasmi untuk Simposium Pengangkutan Awam yang dianjurkan oleh Kelab Kejuruteraan Universiti Malaya.
Dengan tema “Pengangkutan Awam, Pemangkin kepada Pembangunan”, simposium ini yang diadakan di Kompleks Perdana Siswa di Universiti Malaya (UM) pada 22 Mei 2013, bertujuan memberi pelajar maklumat mengenai pengangkutan darat, terutamanya sistem keretapi dan pembuatan kereta.
Menjelang simposium ini, Kelab tersebut telah berpeluang melawat Jepun di mana mereka mempelajari sistem rel yang canggih dan teknologi moden yang diguna untuk pelbagai jenis pengangkutan. Lawatan itu merupakan sebahagian daripada Skim Pembelajaran Luar Negara Kelab Kejuruteraan yang ke-31 atau Engineering Society Overseas Study Scheme 31 (ESOSS-31) untuk tahun 2013.
Lawatan itu telah membolehkan pelajar membawa kembali ke Malaysia ilmu pengetahuan yang relevan terhadap transformasi pengangkutan awam negara. Maklumat yang diperoleh di Jepun dikumpulkan dan dijadikan sebagai satu laporan yang dibentangkan di simposium.
Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp, Encik Amir Mahmood Razak, yang menjadi penceramah utama, telah memberikan taklimat menarik mengenai kepentingan MRT kepada negara. Beliau juga menerangkan tentang kesan positif Projek MRT terhadap masa depan semua.
Encik Amir berkata sesi interaksi bersama pelajar adalah penting untuk mendidik mereka tentang keperluan sistem pengangkutan awam yang lebih baik. Beliau menambah, kesedaran di kalangan generasi muda adalah perlu kerana usaha-usaha memperbaharui pengangkutan awam akan mereka nikmati akhirnya sebagai pengguna.
Trak Informasi MRT (MIT) telah ditempatkan di pintu utama Kompleks Perdana Siswa semasa acara. Pelajar-pelajar berkesempatan menggunakan aplikasi interaktif “Hawkeye” di dalam MIT, di mana mereka dapat melihat Jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang secara 360 darjah.
Para pelawat MIT dan peserta-peserta simposium juga diberi bahan-bahan bacaan tentang Projek MRT.
Acara tersebut dihadiri juga oleh Pemangku Dekan UM Fakulti Kejuruteraan, Professor Dr Faisal Rafi Mahamd Adikan; Penasihat ESOSS-31, Dr Hazlee Azil Illias; dan Pengarah ESOSS-31, Encik Tan Zhi Quan.











