ATASE buruh dari empat buah negara telah membuat lawatan ke Kuarters Pekerja (CLQ) Cheras pada 17 Julai 2013.
Lawatan tersebut dianjurkan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan disertai oleh atase buruh dari Kemboja, Nepal, Vietnam dan Pakistan. Pegawai daripada Jabatan Tenaga Kerja dan Pusat Pertukaran Buruh Binaan Berhad turut menyertai lawatan tersebut.
Atase-atase dibawa melawat di sekitar CLQ di mana mereka melihat secara langsung pelbagai kemudahan yang disediakan dan keadaan tempat tinggal pekerja yang terlibat dalam pembinaan Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang.
CLQ Cheras adalah satu daripada empat kuarters yang disiapkan oleh MRT Corp bagi menempatkan pekerja Projek MRT. Tiga lagi kompleks terletak di Sungai Buloh, Cochrane dan Kajang.
Setiap CLQ dilengkapi dengan kabin tempat tinggal yang mempunyai tiga katil dua tingkat, almari dan kipas. Kompleks ini juga mempunyai kafeteria dan kemudahan dapur pusat serta surau, klinik dan kemudahan membasuh yang lengkap. Kawasan mandi dan tandas juga dijaga bersih. Di waktu lapang, pekerja boleh menggunakan kemudahan rekreasi seperti gelanggang futsal dan meja pingpong. Di samping itu terdapat juga kedai runcit bagi mereka membeli makanan dan barang-barang lain.
Kompleks ini juga mempunyai sistem keselamatan terkini, seperti sistem pengimbasan wajah elektronik. Ia membolehkan kawalan yang sewajarnya dilakukan bagi memantau pergerakan mereka di kompleks ini. Bas digunakan untuk menghantar pekerja ke lokasi projek serta untuk membawa mereka pulang.
Di akhir sesi lawatan tersebut, beberapa orang atase telah meluangkan masa untuk menemu bual pekerja-pekerja warga negara mereka. Maklum balas yang diberi oleh atase buruh adalah positif dan mereka gembira dengan keadaan tempat tinggal rakyat mereka.
Di kemuncak pembinaan projek Laluan MRT Sungai-Buloh Kajang dijangka akan menggunakan seramai 12,000 tenaga kerja. Antara pekerja yang tinggal di CLQ Cheras ini adalah warga negara Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Pakistan, India, Nepal, Vietnam dan Kemboja.













