Program Graduan Usahawan Muda Projek MRT, satu usaha bertujuan untuk mewujudkan kumpulan usahawan Bumiputera yang mampu membangun dalam industry pembinaan, telah dilancarkan pada 2 September 2013.
Program ini dilahirkan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) yang merupakan sebahagian daripada Agenda Bumiputera untuk Projek MRT Lembah Klang. Program ini diusahakan bersama Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Rakan Pelaksana Projek iaitu MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd.
“Program ini akan memberikan ilmu pengetahuan dan kepakaran yang akan mereka gunakan apabila menjadi kontraktor atau subkontraktor, sama ada di dalam atau luar negara,” kata Dato’ Azhar Abdul Hamid dalam ucapannya semasa majlis pelancaran.
Graduan-graduan ini telah menjalani latihan bersama PUNB selama setahun, yang membolehkan mereka mendapatkan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi usahawan berjaya. Pelatih-pelatih ini perlu menubuhkan syarikat yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Mereka akan menerima geran daripada PUNB untuk menubuhkan dan menguruskan syarikat masing-masing.
Dua puluh orang graduan telah dipilih untuk menjadi peserta program ini. Mereka akan menjalani latihan dengan MMC Gamuda selama enam bulan hingga setahun. Semasa latihan ini, calon-calon akan dinilai. Setelah pelatih lulus proses penilaian, syarikat mereka akan dianugerahkan kontrak untuk pembinaan Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang.





