INDONESIA, seperti Malaysia, sedang memulakan projek MRT yang tersendiri. Projek MRT Jakarta mempunyai dua laluan, iaitu Laluan Selatan-Utara dari Lebak Bulus ke Kampung Bandan, yang mempunyai jarak 23km, dan Koridor Timur-Barat yang mempunyai jarak 87km.
Pada 24 Oktober 2013, satu delegasi dari PT Mass Rapid Transit Jakarta telah melawat Projek MRT Lembah Klang. Delegasi seramai 25 orang itu diketuai Pengarah Pembinaan En M. Nasyir dan termasuk jurutera dan kontraktor Projek MRT Jakarta.
Mereka diberi taklimat oleh Pengarah Terowong Bawah Tanah Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), En Blaise Mark Pearce di Pusat Informasi Taman Tun Dr Ismail.
Mereka juga dibawa ke beberapa tapak pembinaan MRT seperti Seksyen 16, KL Sentral dan Cochrane.
Delegasi itu menunjukkan minat yang mendalam terhadap beberapa perkara, seperti pembentukan MRT Corp dan pengurusan projek untuk Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang. Mereka juga berminat untuk mendalami pembinaan di bawah tanah, pengurusan trafik dan perhubungan awam.
Kedua-dua pihak berharap jalinan hubungan yang baik dapat diteruskan memandangkan rantau Asia Tenggara sedang membangunkan infrastruktur pengangkutan awamnya.











