PROGRAM Sukarelawan Kakitangan MRT yang pertama kalinya telah berjaya diadakan pada 7 Jun 2014. Aktiviti hari itu melibatkan kira-kira 80 orang kakitangan daripada Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd (MMC Gamuda) dan TSR Bina Sdn Bhd bagi membersihkan kawasan sekitar Kampung Masjid yang terletak di Sungai Buloh, Selangor.
MMC Gamuda merupakan Rakan Pelaksana Projek MRT manakala TSR Bina ialah kontraktor yang dilantik untuk membina kemudahan Park and Ride bertingkat Stesen MRT Sungai Buloh.
Program tersebut telah bermula pada jam 7.30 pagi didahului dengan kata-kata aluan dari Encik Amir Mahmood Razak,Pengarah di Jabatan Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam, MRT Corp. Selepas itu, ucapan disampaikan oleh Tuan Haji Zulkapli Haji Abdul Karim selaku ketua Kampung Masjid.
Kampung Masjid terletak bersebelahan dengan tapak pembinaan kemudahan Park and Ride Stesen MRT Sungai Buloh.
Peserta dan orang Kampung Masjid telah dibahagikan kepada tujuh kumpulan bagi melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan. Kerja-kerja tersebut melibatkan pembersihan longkang, pemotongan pokok-pokok mati dan pengumpulan sampah-sarap. Longgokan sampah telah diangkut menggunakan lori yang disediakan oleh kontraktor pakej kerja MRT ke tempat pelupusan.
Kerja-kerja pembersihan kawasan tersebut telah selesai pada waktu tengah hari dan Tuan Haji Zulkapli mengucapkan terima kasih kepada peserta program di atas kerja keras mereka.
Program Sukarelawan Kakitangan MRT itu telah dirancang untuk kakitangan MRT Corp, Rakan Pelaksana Projek dan Kontraktor Pakej Kerja supaya dapat menyumbang kepada masyarakat yang menghuni di sepanjang jajaran MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang.









