PROJEK Lembah Klang MRT sekali lagi menyaksikan satu pencapaian besar pada 24 Disember 2013 dengan penembusan mesin pengorek terowong (TBM) yang pertama di Stesen KL Sentral untuk pembinaan bawah tanah bagi Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang.
Penembusan TBM merupakan proses di mana sebuah TBM keluar daripada terowong yang selesai dikorek. Proses ini biasanya berlaku di dalam ruang kekotak stesen bawah tanah ataupun di dalam syaf penerimaan (retrieval shaft) yang digali khas untuk tujuan penembusan TBM.
TBM Keseimbangan Tekanan Bumi ini dilancarkan di Portal Semantan pada 13 Jun 2013. Mesin ini telah mengorek sejauh 1.4km dan selesai membina terowong antara Portal Semantan dan Stesen MRT KL Sentral bagi tren MRT hala utara ke Sungai Buloh. Diameter terowong ini adalah kira-kira 6m.
Selepas penembusan TBM, mesin ini akan melalui kerja-kerja penyelenggaraan di tapak pembinaan Stesen KL Sentral sebelum dilancarkan semula untuk membina terowong ke Stesen Pasar Seni.
Pada masa ini, terdapat tujuh buah TBM yang sedang beroperasi untuk Projek MRT. Pergerakan mesin-mesin ini dipantau oleh pasukan MRT yang ditempatkan di atas.
Sejumlah 10 buah TBM akan digunakan untuk membina jajaran bawah tanah MRT dengan jarak 9.5km. Terdapat empat buah TBM Keseimbangan Tekanan yang akan digunakan untuk formasi geologi Kenny Hills dan enam buah TBM Variable Density untuk formasi geologi Batu Kapur Kuala Lumpur.





