KETUA Pegawai Eksekutif Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd Dato’ Sri Shahril Mokhtar telah mengetuai rombongan media dalam lawatan ke Stesen Cochrane dan Stesen Tun Razak Exchange (TRX) pada hari Rabu 11 Februari 2105. Dalam lawatan tersebut, mereka juga telah berjalan melalui terowong yang menghubungi dua stesen tersebut.
Bersama-sama Shahril adalah Encik Marcus Karakashian, Pengarah Projek MRT Sungai Buloh-Kajang, di mana beliau telah menerangkan kepada media maklumat mengenai pembinaan stesen dan terowong. Selain Karakashian, rombongan tersebut juga disertai Pegawai-Pegawai Kanan Pengurusan MRT Corp.
Ini merupakan sesi bersama media yang pertama bagi Shahril setelah beliau mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp. Lebih kurang 40 ahli media telah hadir untuk lawatan tersebut.
Sebuah sidangan media telah dianjurkan pada hujung lawatan tersebut. Selain Shahril, panel sidangan media tersebut termasuk Karakashian dan Encik Satpal S. Bhogal, Pengarah Projek MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd.
“Saya amat berpuas hati dengan perkembangan projek setakat ini. Tahap kemajuan projek yang semakin meningkat telah mengalihkan fokus kami ke bahagian Sistem dan saya akan memastikan tahap kemajuan ini akan diteruskan” kata Shahril ke pihak media.
Tahap kemajuan bagi Kerja Bawah Tanah yang meliputi pembinaan tujuh stesen bawah tanah dan terowong sepanjang 9.5km bagi MRT Sungai Buloh-Kajang, adalah di 73.13%. Manakala tahap kemajuan bagi bahagian jajaran bertingkat adalah di 49.2%.
Tahap kemajuan bagi keseluruhan projek pada 31 Januari 2015 adalah di 59.5%.









