PROJEK MRT Klang Valley menerima kunjungan Naib Presiden Republik Botswana Encik Mokgweetsi Masisi, di tapak Stesen MRT Cochrane pada hari Rabu, 8 April 2015.
Lawatan ini adalah salah satu aktiviti Masisi semasa lawatan kerja beliau ke Malaysia dari 7 April 2015 ke 11 April 2015.
Delegasi Botswana merangkumi Menteri Hal-Ehwal Presiden dan Pentadbiran Awam, Encik Eric Molale dan pegawai-pegawai yang lain. Turut bersama pada hari itu adalah Pengarah untuk NKRA Pengangkutan Awam Bandar dan NKEA Greater Kuala Lumpur/Klang Valley dari Pemadu Encik Azharuddin Mat Sah.
Para delegasi tiba di tapak pembinaan pada 2.30 petang dan disambut oleh Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp Encik Mahmood Abdul Razak, yang turut memberi taklimat ringkas mengenai Projek ini.
Delegasi ini dibawa ke dek tinjauan di mana seluruh Stesen Cochrane yang sedang dibina boleh dilihat. Stesen ini adalah sedalam 33 meter.
Mereka kemudian dibawa masuk ke dalam stesen. Pengarah Stesen Bawah Tanah MRT Corp Encik Keith Allenby memberikan penjelasan teliti berkenaan kemajuaan pembinaan stesen and kerja-kerja yang sedang dijalankan di tapak.
Masisi berasa kagum dengan projek MRT dan berminat untuk belajar dari program transformasi Malaysia.
Lawatan ini berakhir dengan kedua-dua pihak bertukar cenderamata. Beberapa gambar telah dirakamkan untuk memperingati kunjungan ini.







