Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd telah menjayakan sebuah majlis iftar bersama media pada 30 Jun 2015 di Hotel Aloft, KL Sentral, Kuala Lumpur.
Selain daripada membuka puasa bersama-sama di bulan Ramadhan yang mulia, majlis ini, yang dianjurkan setiap tahun, merupakan satu cara untuk MRT Corp memberikan penghargaan kepada ahli-ahli media di atas keprihatinan dan liputan mereka ke atas Projek MRT Lembah Klang.
Dengan makanan yang sedap dan suasana yang mesra, kakitangan MRT Corp dari divisyen-divisyen Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam bersama Hal Ehwal Pihak Berkepentingan dan Pengurusan Tanah, mengambil peluang untuk beramah-mesra dan berkenalan dengan ahli-ahli media secara dekat.
Sementara menunggu azan Maghrib berkumandang menandakan waktu berbuka puasa, Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam Encik Mahmood Abdul Razak mengalu-alukan kehadiran para tetamu.
Beliau juga berkongsi maklumat terkini mengenai Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang dan juga Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya.
Majlis ini telah dihadiri oleh lebih dari 50 ahli-ahli media cetak dan siaran.











