PERDANA Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah melawat Depoh MRT Sungai Buloh pada hari Rabu, 11 November 2015. Lawatan ini merupakan lawatan pertama beliau ke depoh selepas tiga lawatan ke stesen-stesen MRT.
Lawatan ini memperlihatkan komitmen beliau untuk memastikan projek MRT berada di tahap kemajuan yang dikehendaki, membolehkan ia beroperasi sepenuhnya pada Julai 2017.
Perdana Menteri tiba di depoh Sungai Buloh pada 5.25 petang dan disambut oleh Pengerusi MRT Corp Tan Sri Dr Ali Hamsa bersama Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Dato’ Sri Shahril Mokhtar.
Semasa lawatan ini, Najib telah dibawa ke Woksyop Penyelenggaran Stok Keretapi untuk melihat tren MRT yang sedang diuji.
Pengarah Projek MRT Corp untuk Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK), Encik Marcus Karakashian telah mengiringi Perdana Menteri ke atas salah sebuah tren yang sedang menjalani kerja-kerja persiapan terakhir. Pihak media yang hadir telah berkesempatan untuk mengambil gambar Perdana Menteri bersama rombongan beliau di dalam tren.
Karakashian menjelaskan kepada Perdana Menteri bahawa setakat ini, 19 tren telah selesai dipasang dan dihantar ke depoh.
Najib kagum dengan kemajuan tren-tren tersebut. “Apa yang telah kami rancangkan selama ini telah membuahkan hasil. Ini bermakna sasaran kami untuk laluan pertama MRT bermula pada hujung tahun depan akan dapat dicapai,” beliau berkata.
Beliau juga menyatakan bahawa Projek MRT ini telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada komuniti tempatan dan pemindahan teknologi kepada syarikat-syarikat tempatan.
“Kami melihat banyak peluang dan pekerjaan untuk orang-orang kita yang berkelayakan. Penglibatan dalam pembangunan Projek MRT merupakan pengalaman yang berharga untuk mereka.”
Pada penghujung lawatan, Perdana Menteri telah menerima cenderamata untuk meraikan lawatan beliau ke Depoh Sungai Buloh.







