SELEPAS lima tahun pembinaan, 12 stesen sepanjang bahagian bertingkat utara MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) buat pertama kalinya membuka pintu bagi orang ramai pada pukul 6 pagi, 16 Disember 2016.
Kesemua 12 stesen di bawah Operasi Fasa Pertama Laluan SBK ialah (dari utara) Sungai Buloh, Kampung Selamat, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara dan Semantan.
Sebanyak 24 set tren, setiap satu boleh membawa 1,200 penumpang, sedia untuk berkhidmat. Semasa waktu puncak, tren beroperasi pada frekuensi 3.3 minit.
Operasi Fasa Pertama, melibatkan 21km daripada keseluruhan laluan SBK iaitu 51km, telah bermula selepas satu majlis pelancaran oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah diadakan di Stesen Kwasa Damansara sehari sebelum operasi.
Seramai 800 tetamu dari pelbagai organisasi yang secara langsung atau tidak langsung menyumbang kepada kejayaan Projek telah menghadiri majlis pelancaran yang diadakan di Stesen Kwasa Damansara.
Selain Perdana Menteri, orang kenamaan lain turut hadir ke majlis itu ialah Dato’ Sri Liow Tiong Lai Menteri Pengangkutan, Datuk Johari Abdul Ghani Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Nancy Shukri Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Tan Sri Dato’ Seri Dr Syed Hamid Albar.
Turut hadir adalah Barisan Kanan Kepimpinan dan warga kerja Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), pengurusan kanan MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd yang merupakan rakan pelaksana projek Laluan SBK, dan pengurusan kanan Prasarana Negara Bhd, pengendali Laluan SBK.
Dengan wajah yang berseri-seri, Najib tiba kira-kira pukul 3 petang, berkata beliau bangga dengan rakyat Malaysia yang akan dapat menikmati satu perkhidmatan pengangkutan awam
yang paling moden di negara ini.
“Kita telah menempuhi perjalanan yang jauh dipenuhi dengan pelbagai cabaran untuk merealisasikan projek ini. Apa yang dianggap impian pada suatu ketika dahulu, kini menjadi realiti,” katanya semasa memberi ucapan di majlis itu.
Semasa ucapan beliau, Perdana Menteri berkata Rapid Rail sudah cukup bersedia untuk memainkan peranan sebagai pengendali perkhidmatan MRT dan beliau yakin Rapid Rail akan dapat memastikan tahap perkhidmatan yang efisyen, boleh percaya, tepat pada waktu dan selamat untuk para penumpang.
“Ini berdasarkan pengalaman luas mereka dalam mengendalikan perkhidmatan-perkhidmatan LRT, Monorel, bas-bas di Lembah Klang dan juga di bahagian-bahagian lain di Malaysia, malah
di luar negara seperti di Makkah Metro Rail,” katanya.
Perdana Menteri juga mengumumkan Rapid Rail akan memberi perkhidmatan percuma kepada penumpang yang menaiki tren MRT dan bas-bas perantara Laluan SBK mulai hari esok (16 Disember 2016) sehingga 16 Januari 2017. Tambang hanya akan dikenakan mulai dari 17 Januari 2017.
Untuk gimik pelancaran selepas tamatnya ucapan, Perdana Menteri telah dijemput untuk meletakkan tapak tangan beliau di skrin. Ini telah memulakan satu video perjalanan tren sepanjang keseluruhan Fasa Pertama Laluan SBK yang memaparkan semua stesen-stesen serta tempat-tempat menarik berdekatan dengan stesen.
Perdana Menteri turut menyerahkan sijil-sijil penyertaan kepada 14 peniaga yang telah mengambil bahagian dalam Program Niaga MRT. Peniaga-peniaga ini akan membuka premis perniagaan mereka di 21 stesen bertingkat Laluan SBK.
Perdana Menteri bersama dengan Pengerusi Sirim Bhd Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali kemudiannya menyaksikan anugerah sijil ISO9001:2015 kepada MRT Corp, yang merupakan organisasi pembinaan atau pemaju projek kereta api yang pertama di Malaysia yang diberi pensijilan ini. Sijil telah dianugerahkan oleh Pengarah Pengurusan Sirim Encik Mohd Azanuddin Salleh kepada Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Dato’ Sri Shahril Mokhtar.
Selepas menutup majlis, Perdana Menteri telah mengambil mikrofon dan dengan bangganya telah membuat pengumuman menjemput semua tetamu yang telah hadir ke majlis itu untukbersama-samanya menaiki tren MRT.
“Jom naik MRT,” beliau berkata kepada tetamu yang datang dan disambut dengan tepukan dan sorakan.
Tren dipenuhi penumpang dari Stesen Kwasa Damansara ke MRT Stesen Sungai Buloh, di mana semua akan dipindahkan ke tren yang lain dan kembali ke Kwasa Damansara.
Tetamu kemudiannya boleh menaiki tren dan menikmati perjalanan sepanjang laluan Fasa Pertama MRT Sungai Buloh-Kajang.











