SEMPENA permulaan fasa pertama MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) pada Disember 2016, Stesen Semantan Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) telah dilawati oleh delegasi daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), DanaInfra Nasional Berhad dan Prokhas Sdn Bhd pada 3 Mac 2016.
Delegasi ini yang merangkumi 25 orang telah diketuai oleh Ketua Pengarah ICU JPM, Datuk Seri Ahmad Zaki Ansore.
Sebelum lawatan bermula, Encik Nor Hadi Kasah, dari bahagian Keselamatan, Kesihatan, Pekerja dan Persekitaraan telah memberi penerangan ringkas kepada para hadirin tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi apabila hadirin berada di pejabat-pejabat MRT dan juga Stesen Semantan yang bakal dilawati.
Pengarah Projek Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) MRT Corp Encik Marcus Karakashian telah memberikan maklumat tentang Laluan SBK kepada hadirin. Beliau menyatakan bahawa seluruh jejambat untuk laluan ini telah siap dibina. Kemajuan keseluruhan projek adalah pada 79.85% dan 94km dari 107km landasan keretapi sudah siap.
Sejurus selepas selesainya ucapan Marcus, Pengarah Projek Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP), Dato’ Amiruddin Ma’aris, telah memberikan pengenalan tentang laluan kedua Projek MRT. Beliau menjelaskan bahawa unjuran harian bilangan penumpang bagi Laluan SSP akan melebihi Laluan SBK. Anggaran bilangan penumpang bagi Laluan SSP ialah seramai 533,000 manakala bagi Laluan SBK ialah 400,000.
Selepas kesudahan kedua-dua ucapan, para delegasi telah dibawa ke Stesen Semantan. Lawatan ini diketuai oleh Marcus dan beliau memberi maklumat terkini tentang stesen bertingkat. Datuk Seri Ahmad Zaki telah berpuas hati dengan pencapaian Projek ini.







