SATU kumpulan delegasi dari Bank of China, cawangan Shanghai melawat Projek Mass Rapid Transit (MRT) pada 17 April 2017. Mereka telah dibawa ke Pusat Informasi MRT Jalan Sultan Azlan Shah dan 10 delegasi tersebut diketuai oleh Penolong Pengarah Jabatan Koordinasi Pelaburan Asing Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Cik Teo Cho Cheng.
Timbalan Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Encik Leong Shen-Li memberi pengenalan kepada para delegasi berkenaan Projek MRT.
Beliau telah menjelaskan kepentingan Projek MRT di Lembah Klang. Kepadatan rakyat yang semakin meningkat dan bilangan kereta semakin bertambah di Lembah Klang perlu dikurangkan. Projek rel seperti Projek MRT telah dimulakan untuk mencapai matlamat ini.
Selain menyediakan informasi mengenai MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, Leong turut menjelaskan tentang cadangan Laluan Lingkaran MRT yang berpotensi sama seperti konsep yang sedia ada di Beijing, China.
Di samping itu, penjelasan mengenai pelaksanaan pintu platform automatik di Projek MRT, yang tidak seperti projek rel lain di Malaysia, telah mengagumkan para delegasi.
Lawatan berakhir dengan jamuan ringan.







