PERDANA Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah memulakan pembinaan MRT Laluan Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya (SSP) dengan merasmikan majlis pecah tanah bagi projek itu pada 15 September 2016.
Majlis yang telah dihadiri seramai lebih 300 orang telah diadakan di salah sebuah tapak Projek MRT di Putrajaya, berhampiran Stesen MRT Putrajaya Sentral yang akan dibina kelak dan merupakan penghujung selatan bagi Laluan SSP.
Majlis ini secara rasminya menandakan bermulanya kerja-kerja pembinaan bagi Laluan SSP.
Selain Perdana Menteri, antara yang turut hadir di majlis pada hari itu ialah Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Liow Tiong Lai, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato’ Haji Abdul Rahman Dahlan, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Tan Sri Dato’ Seri Dr Syed Hamid Albar.
Menyambut mesra tetamu ialah Pengerusi MRT Corp Tan Sri Dr Ali Hamsa yang juga merupakan Ketua Setiausaha Kerajaan, ahli Lembaga Pengarah MRT Corp Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Sri Shahril Mokhtar.
Berucap pada majlis ini, Perdana Menteri berkata majlis pecah tanah ini merupakan satu pencapaian bagi Kerajaan kerana mampu membina laluan kedua MRT dalam tempoh lima tahun selepas pelancaran laluan pertama, MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).
“Pada mulanya, kita tidak cukup fokus pada pembangunan pengangkutan awam. Hal ini menyebabkan kita menanggung akibatnya pada hari ini, dengan kesesakan lalu lintas bukan sahaja di Lembah Klang tetapi juga di kebanyakan bandar dan lebuh raya yang berada luar dari kawasan ini,” ujar beliau.
Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam pembangunan Laluan SBK kerana telah menyiapkan projek dengan menepati masa dan kos sasaran.
Bagi menjalankan majlis pecah tanah ini, Perdana Menteri telah memakaikan jaket keselamatan dan topi keledar pada pengendali mesin cerucuk gerek Encik Kamarudin Teh, yang kemudiannya telah berjalan ke mesin dan memastikan mesin itu sedia beroperasi.
Perdana Menteri telah menarik tuil pada satu konsol, yang kemudiannya telah membunyikan siren yang memberi isyarat kepada Kamarudin untuk memulakan kerja-kerja mengorek, lantas melambangkan pecah tanah bagi Laluan SSP. Perdana Menteri bersama dengan menteri-menteri kemudiannya memeriksa dan mengambil gambar dengan mesin cerucuk gerek.
MRT Corp adalah pemilik projek dan pemaju bagi Laluan SSP manakala MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd adalah Rakan Pelaksana Projek.









