Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menganjurkan majlis berbuka puasa bersama pihak media di Hilton Kuala Lumpur di KL Sentral, Kuala Lumpur pada 29 Mei 2017.
Majlis ini telah dihadiri kira-kira 100 orang petugas media daripada media cetak dan elektronik.
Selain daripada berbuka puasa bersama-sama pada bulan Ramadan yang suci, majlis tahunan ini merupakan satu cara untuk MRT Corp beramah mesra bersama pihak media dan mengeratkan hubungan di antara kedua-dua pihak.
Majlis ini juga merupakan tanda terima kasih kepada para media atas liputan yang diberikan kepada Projek Klang Valley MRT Lembah Klang, yang telah membantu memaklumkan dan mendidik orang mengenai projek ini.
Sebelum azan Maghrib berkumandang menandakan waktu berbuka puasa, Pengarah Komunikasi Strategik dan Pihak Berkepentingan Dato’ Najmuddin Abdullah memberi ucapan alu-aluannya.
Selain daripada menekankan kepentingan hubungan yang erat bersama pihak media, beliau telah memberi informasi mengenai kemajuan projek untuk MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang yang beroperasi sepenuhnya pada Julai 2017, dan juga kemajuan untuk MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya.









