Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengadakan sesi undian pertama untuk memilih kontraktor Bumiputera untuk dianugerahkan kontrak pembinaan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya pada 8 Jun 2017.
Empat kontrak dengan nilai keseluruhan RM682,567 telah dianugerahkan semasa sesi itu dijalankan. Keempat-empat kontrak telah dipilih dari sejumlah 103 kontraktor Bumiputera dari Gred G1 dan G2 yang layak untuk mengundi.
Penggredan ini ditentukan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Construction Industry Development Board of Malaysia). Kontraktor Gred G1 layak bagi pakej kerja bernilai sehingga RM200,000 dan kontraktor Gred G2 pula layak bagi pakej kerja di antara RM200,001 dan RM500,000.
Daripada empat kontrak yang dianugerahkan, dua daripadanya ialah untuk bahagian bertingkat sementara dua yang lain pula ialah bagi bahagian bawah tanah.
Sesi undian diadakan oleh Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Dato’ Haji Mokhtar Samad, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan Encik Zureen Zubir, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Encik Wan Sazriz Wan Zaid dan Ketua Pegawai Kewangan MRT Corp Dato’ Hairul Abdul Hamid.
Sebanyak 883 kontraktor Bumiputera telah disenaraipendek untuk dianugerahkan kontrak Laluan SSP di bawah program Penyertaan Bumiputera MRT Corp.







