PELAJAR dari Universitas Negeri Padang, Indonesia telah melawat Ibu Pejabat Korporat Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) pada 4 Mei 2017 untuk mengetahui lebih lanjut tentang operasi Sumber Manusia.
Delegasi yang diketuai oleh Pengarah Pengurusan Induk Ibu Erni Masdupi telah disambut mesra oleh Pengarah Strategik Sumber Manusia Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Encik Zainudin Ismail.
Beliau memulakan penyampaian dengan taklimat keseluruhan Projek Mass Rapid Transit (MRT) dan menerangkan berkenaan Projek MRT yang telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi di Malaysia. Beliau turut menekankan bahawa MRT dibina untuk menampung penduduk Lembah Klang yang akan dijangka mencapai angka 10 juta penduduk.
Selepas berkongsi maklumat tentang MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang dan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, beliau membincangkan mengenai 4 tema strategik untuk mencapai Petunjuk Prestasi (KPI) MRT, iaitu pengurusan kos projek secara efektif, pengurusan bersama pihak berkepentingan secara efektif, pengurusan projek dan kecemerlangan operasi secara efektif dan pembangunan modal insan.
Dalam usaha untuk mencapai KPI, MRT Corp telah menyerap beberapa kaedah dalam proses pengambilan dan pemilihan pekerja, di mana pelbagai semakan latar belakang individu berprospek dilakukan seperti memastikan bahawa mereka berada dalam kewangan yang stabil dan tidak akan memudaratkan mana-mana pekerja yang berpotensi dan dana syarikat.
Zainudin juga membincangkan tentang keseimbangan hidup bekerja di dalam organisasi ini, program latihan dan kemudahan yang disediakan serta operasi perancangan tenaga kerja.
Beliau mengakhiri penyampaian dengan pembentangan pelbagai skim pekerjaan. Antaranya ialah Skim Jurutera Muda dan Program Jurutera Offset.







