SEMPENA United Kingdom-Malaysia Scoping Workshop yang telah dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Britain Kuala Lumpur, 7 delegasi dari Malaysia dan United Kingdom telah melawat Projek MRT pada 23 Februari 2017.
Para delegasi merupakan pegawai daripada Dana Newton-Ungku Omar. Dana ini menggalakkan perkembangan ekonomi melalui Suruhanjaya Tinggi Britain dan kerajaan Malaysia. Matlamat utamanya ialah memperkukuhkan sains dan inovasi dengan cara mempertingkatkan pembiayaan demi membasmi kemiskninan.
Lawatan ini merupakan salah satu daripada lawatan ke beberapa Projek Malaysia untuk menyelesaikan cabaran bandar dan bagaimana pengangkutan awam dapat menyelesaikannya.
Pengarah Projek Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Encik Marcus Karakashian, telah memberi taklimat kepada delegasi di Wisma MRT. Beliau menyatakan kepentingan system MRT untuk penduduk Lembah Klang dan bagaimana ia dapat membantu mengurangkan bilangan kereta di kawasan tersebut.
Selepas taklimat Marcus, para delegasi telah dibawa ke Stesen Cochrane.
Sejurus tiba di stesen, Marcus telah membawa delegasi untuk meninjau stesen. Kedalaman stesen ialah 25 meter bawah tanah. Salah satu ciri yang dinyatakan ialah cara-cara untuk membeli tiket di stesen. Pengguna keretapi boleh membelinya menggunakan mesin tiket layan diri atau di kaunter perkhidmatan pejabat pelanggan untuk membelinya.
Delegasi yang diketuai oleh Pengurus Strategik Dana Newton-Ungku Omar Suruhanjaya Tinggi Britain Kuala Lumpur, Puan Izza Ismail telah dibawa ke Stesen Taman Midah untuk mendapatkan pemahaman lanjut tentang stesen bertingkat MRT. Stesen ini sedang menjalani kerja-kerja akhir pembinaan menurut jadual untuk beroperasi pada Julai 2017.
Seterusnya mereka dibawa ke Stesen Semantan di mana para delegasi telah menaiki keretapi MRT menuju ke Stesen Phileo Damansara.
Ciri-ciri yang ditunjukkan adalah pintu skrin automatik yang telah dipasang di platform. Pintu ini hanya akan dibuka apabila keretapi tiba di stesen. Ini merupakan ciri keselamatan yang sedia ada di stesen MRT bertingkat.
Lawatan berakhir dengan perjalanan menaiki keretapi kembali ke Stesen Semantan.









