SEMBILAN individu dari Tun Razak Exchange (TRX) City Sdn Bhd telah melawat Depoh Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh pada 13 April 2018. TRX City merupakan pemaju induk Tun Razak Exchange, pusat kewangan Malaysia yang akan datang.
Lawatan itu bertujuan untuk memahami dengan lebih lanjut konsep dan reka bentuk kemudahan MRT dan cara pemantauan dan pengurusan perkhidmatan MRT.
Melihat kepada peranan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) sebagai pemilik projek perkhidmatan MRT, Pengarah Tempoh Liabiliti Kerosakan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) Encik Tarenjit (Tom) Singh Khella mengetuai para pelawat melawat sekitar kemudahan tersebut dan diiringi oleh Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail Sdn Bhd Operator MRT Laluan SBK Encik Azmi Mohd Zain.
Memulakan lawatan itu, Tom menjelaskan susun atur depoh. Beliau menjelaskan depoh seluas 66 hektar itu akan digunakan untuk tren dari kedua-dua laluan, MRT Laluan SBK dan juga laluan akan datang, MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP). Bagi Laluan SBK, sebanyak 58 tren telah dibeli oleh MRT Corp dengan 42-44 tren beroperasi semasa tempoh puncak operasi.
Depoh Sungai Buloh adalah salah sebuah daripada dua depoh tren bagi Laluan SBK. Sebuah lagi depoh tren terletak di jajaran selatan perkhidmatan MRT di Kajang. Penyelenggaraan ringan dijalankan di depoh ini.
Bersempena dengan pembangunan Bandar TRX, Tom menerangkan bahawa Stesen MRT Tun Razak Exchange berkhidmat untuk kedua-dua MRT Laluan SBK dan MRT Laluan SSP. Reka bentuk stesen ini mempunyai platform yang bertindan. Ini bermakna tingkat pertama stesen digunakan untuk jajaran utara, manakala tingkat seterusnya digunakan untuk jajaran selatan.
Seterusnya, satu lawatan ke dek pemerhatian Pusat Kawalan Operasi dilakukan. Di sini, pemantauan pergerakan tren secara langsung telah diperjelaskan kepada para pelawat. Mereka agak kagum dengan siaran langsung tren yang dapat ditonton di pusat Kawalan Operasi. Azmi turut menjelaskan bahawa data dari pintu tambang automatik juga boleh diperolehi dari setiap stesen. Ciri ini membolehkan Rapid Rail memantau aktiviti para pengguna yang menggunakan perkhidmatan MRT dan mengumpul maklumat berkenaan stesen yang paling sibuk.
Lawatan berakhir dengan satu tinjauan ke Pejabat Penyelenggaraan Tren dan kawasan bangsal. Kedua-dua kemudahan ini merupakan tempat tren diselenggara setelah selesai operasi dan turut diuji sebelum operasi bermula.
MRT Corp menyampaikan sebuah cenderahati kepada TRX City Sdn Bhd sebagai tanda terima kasih di atas kehadiran mereka ke depoh.











