Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abd Rahim Bakri pada 3 April 2021 telah melawat bahagian Fasa Satu MRT Laluan Putrajaya (PY) bagi memeriksa ketersediaan operasi.
Turut bersama mereka semasa lawatan tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Puan Normah Osman dan Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat Encik Azlan Shah Al Bakri.
Mereka telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Mohd Zarif Hashim, Pengarah Projek MRT Laluan PY Dato’ Amiruddin Ma’aris dan Barisan Kepimpinan MRT Corp. Turut hadir ialah pengurusan dari MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, kontraktor siap pakai (turnkey contractor) MRT Laluan Putrajaya.
Menteri dan Timbalan Menteri tersebut telah memulakan lawatan mereka di Stesen MRT Sri Damansara Sentral di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya. Sejurus memasuki stesen, Dato’ Amiruddin telah berkongsi maklumat berkenaan jajaran Fasa Satu serta lokasi dan susur atur stesen.
Delegasi ini kemudiannya menguji pintu tiket automatik dan seterusnya bergerak ke aras ruang legar bagi taklimat keselamatan dan ucapan alu-aluan oleh Datuk Mohd Zarif. Mereka meneruskan lawatan ini dengan bergerak ke aras platform and menaiki tren selepas pintu platform automatik dibuka selepas tren tiba.
Di Kampung Batu, mereka turun dari tren dan melihat panorama bandaraya Kuala Lumpur serta bahagian laluan Fasa Dua yang akan beroperasi pada masa depan dari hujung selatan platform.
Sebuah sidang media kemudiannya diadakan di aras platform sebelum delegasi berangkat pulang dari stesen.













