Gerabak untuk dua set tren terakhir MRT Laluan Putrajaya (PY), iaitu Tren No TS48 dan TS49, telah dilancarkan keluar dari kilang Hyundai-Rotem di Changwon, Korea Selatan pada 17 Mac 2021.
Sebuah majlis pelepasan diadakan untuk memperingati salah satu lagi kejayaan Projek MRT Laluan PY.
Barisan Kepimpinan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menyaksikan acara ini secara maya dari Ibu Pejabat MRT Corp di Kuala Lumpur sementara Hyundai-Rotem, pengeluar tren elektrik, diwakili oleh barisan Pengurusan Kanan Kilang Changwon di Changwon. Turut menyaksikan majlis secara maya ialah wakil-wakil dari MMC Gamuda, kontraktor serah kunci.
Aktiviti bermula dengan gerabak dipindah keluar dari Tapak Platform ke Perkarangan 1 di dalam kawasan kilang. Di Perkarangan 1, gerabak diangkat ke atas trak dan kemudiannya dibawa ke pelabuhan di Masan di mana gerabak tersebut akhirnya akan dihantar ke Pelabuhan Klang, Malaysia.
Di Malaysia, gerabak akan dibawa ke kilang pemasangan tren di Rasa, Hulu Selangor di mana gerabak akan dipasang untuk menjadi set tren yang lengkap dan kemudiannya diuji. Dua set tren terakhir ini dijangka akan dihantar ke Depoh Serdang MRT Laluan PY pada bulan September.









