AHLI Majlis Perbandaran Temerloh telah melawat Pusat Informasi MRT (MIC) Seri Kembangan pada 17 Julai 2018 untuk mendapatkan maklumat tentang Projek Mass Rapid Transit (MRT).
Individu seramai 39 orang ini telah diketuai oleh Yang Dipertua Dato’ Azlan Mohd Yaman.
Para pelawat telah disambut oleh Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Dato’ Najmuddin Abdullah bersama Ketua Perhubungan Awam dan Pihak Berkepentingan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd (MMC-Gamuda) Encik Zamri Hassan.
Memulakan penyampaian, Najmuddin telah menerangkan tentang kadar penggunaan kereta yang tinggi di Kuala Lumpur. Hal ini adalah disebabkan oleh pengangkutan awam di dalam bandar mempunyai reputasi yang tidak efisien berbanding menggunakan kenderaan persendirian. Kebanyakan kediaman juga mempunyai beberapa buah kereta kerana pinjaman yang mudah diperolehi daripada pihak bank.
Penjelasan tentang konsep Kuarters Pekerja (CLQ) untuk Projek MRT telah menarik perhatian para hadirin. Mereka berasa kagum dengan usaha MRT Corp dalam memastikan kebajikan pekerja pembinaan dijaga dengan baik. CLQ dibina khas sebagai kediaman mereka dan pengangkutan percuma ke tapak kerja turut disediakan.
Talian bantuan MRT Corp yang direka khusus untuk orang ramai memberikan maklum balas berkenaan isu-isu yang berkaitan dengan MRT Laluan SSP turut dinyatakan oleh Najmuddin. Berkenaan talian bantuan, beliau menerangkan bahawa kadang kala talian bantuan ini telah disalahgunakan untuk aduan yang tidak berkenaan dengan Projek MRT. MMC-Gamuda, Rakan Pelaksana Projek yang mengendalikan talian bantuan ini akan cuba memberi bantuan akan perkara-perkara yang dinyatakan oleh pemanggil.
Najmuddin turut mengatakan bahawa penggunaan Touch N’ Go amat digalakkan ketika menggunakan perkhidmatan MRT kerana pengguna perkhidmatan tersebut akan mendapat diskaun sebanyak 20%.
Lawatan ini berakhir dengan makan tengah hari yang telah dihidangkan kepada para hadirin.







