Dalam melaksanakan mandat sebagai Pemilik Projek dan Pemaju Aset Projek Mass Rapid Lembah Klang dan Projek RTS Link, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) memikul tanggungjawab bukan sahaja terhadap pembangunan dan penyelenggaraan aset, tetapi juga dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan untuk mendidik orang ramai berkaitan merit infrastruktur awam.
Dalam menyokong visi ini, Jabatan Sistem MRT Laluan Putrajaya baru-baru ini telah mengalu-alukan empat orang pelajar dan tiga orang pendidik daripada Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani (SGS), Negeri Sembilan pada 19 Oktober 2022 dalam sebuah lawatan sambil belajar bagi mempelajari lebih lanjut mengenai projek berkenaan, berhubung dengan teknologi revolusi industri 4.0, bagi mempersiapkan diri mereka untuk Program Karnival Pendidikan dan Kerjaya Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Zon Selatan mereka.
Mereka telah disambut oleh Ketua Integrasi dan Sistem MRT Corp Ir. Shahir Azhan Mohamed Hamzah, bersama Encik Amir Ezareen Azhan Effendy dan Encik Mohamad Sabri Jusoh di Pejabat Projek MRT Corp di Wisma MRT, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Sebelum mereka bermula, sebuah sesi suai kenal telah diadakan bersama tujuh tetamu dan wakil MRT Corp, di mana para pelajar menyatakan aspirasi mereka berhubung kerjaya masa depan mereka.
Pasukan MRT Corp memberikan gambaran ringkas tentang peranan MRT Corp yang berkaitan dengan objektif lawatan yang ditetapkan. Mereka kemudiannya memberikan pembentangan mengenai Sistem Laluan Putrajaya – Sistem Penyeliaan Kawalan Bersepadu (ICSS) dan sistem antara muka lain termasuk maklumat keseluruhan seni bina sistem.
Sebuah sesi soal jawab berlangsung selepas itu, di mana para pelajar mempamerkan rasa ingin tahu mereka terhadap projek tersebut dan telah bertanya pelbagai soalan untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang cara sistem kereta api berfungsi.
Rombongan kemudian dibawa melawat Stesen MRT Semantan dan menaiki kereta api ke KL Sentral, di mana lawatan itu berakhir. Daripada lawatan itu, para pelajar dapat mencapai objektif mereka untuk mendapatkan pendedahan kerjaya terhadap industri rel.







