ORANG awam di kawasan Kepong telah diberi peluang untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Projek MRT apabila Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menyertai Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan Peringkat Kepong 2018 pada 24 Februari 2018.
Acara ini dianjurkan setiap tahun oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sempena Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh pada setiap 1 Februari.
Penyertaan MRT Corp di dalam acara yang dijalankan di Padang Bola Sepak Metro Prima Kepong, Kuala Lumpur ini adalah kerana terdapat empat stesen MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) di kawasan Kepong iaitu Kepong Sentral, Metro Prima, Sri Delima dan Jinjang.
Sebuah gerai telah dibuka untuk pameran MRT Laluan SSP di mana pegawai-pegawai MRT Corp dan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, sebagai Rakan Pelaksana Projek, telah ditugaskan untuk menyebarkan maklumat dengan menjawab pertanyaan dan mengedarkan risalah projek.
Selain daripada memberi maklumat di gerai, MRT Corp juga telah terlibat dalam beberapa aktiviti yang membolehkan mereka yang ke gerai, membawa pulang cenderahati.
Sebuah kuiz telah dianjurkan untuk peluang memenangi buku nota MRT. Seseorang individu perlu menjawab soalan yang berkaitan dengan projek untuk memenangi buku nota ini di mana jawapannya ada terpapar di atas papan informasi di gerai.
Di samping itu, MRT Corp menaja pen, buku nota dan beg untuk diberikan kepada para peserta sebuah pertandingan mewarna yang dianjurkan.
Selain itu, MRT Corp juga menyumbangkan payung dan setem edisi terhad bagi mereka yang memenangi cabutan bertuah yang telah dijalankan oleh penganjur.
Acara ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Senator Dato’ Dr Loga Bala Mohan. Dalam ucapannya, beliau telah berkata bahawa penduduk Kepong bertuah kerana Kepong akan ada 4 Stesen MRT yang kini sedang dibina. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Malaysia mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan gaya hidup penduduk di kawasan ini.







