DATUK Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain melawat projek Mass Rapid Transit (MRT) pada 1 November 2017. Beliau diiringi oleh 17 orang pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Datuk Bandar telah disambut oleh Pengarah Pembinaan Laluan Bertingkat MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Encik Kamarul Baharim Yusoff, Timbalan Pengarah Projek MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd Encik Maslan Othman, Ketua Pegawai Operasi MRT Laluan SBK Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Tuan Haji Muhammad Isom Azis dan Pengurus Besar Pengurusan Kelulusan MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd Encik Muhamad Amran Othman di Stesen MRT Bandar Utama.
Tujuan lawatan ini adalah untuk mengetahui kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh perkhidmatan MRT untuk para pengguna dan juga memperolehi pengetahuan tentang stesen-stesen yang berada di bawah bidang kuasa MBPJ.
Sebuah taklimat berkenaan jejantas Bandar Utama telah diberikan kepada Azizi di stesen ini.
Jejantas ini akan menghubungkan stesen dengan pusat membeli-belah yang sedang dibina oleh See Hoy Chan Sdn Bhd.
Dari Stesen MRT Bandar Utama, mereka menaiki tren menuju ke Stesen MRT Mutiara Damansara. Setibanya di sini, mereka berjalan ke jejantas Surian Tower untuk memahami kesalinghubungan stesen tersebut dengan kawasan komersial, iaitu Hotel Royale Chulan dan pusat membeli-belah eCurve.
Selepas melawat Stesen MRT Mutiara Damansara, mereka meneruskan perjalanan ke Stesen MRT Kampung Selamat. Stesen ini merupakan stesen terakhir yang terletak di bawah bidang kuasa MBPJ dalam Laluan SBK.
Lawatan ini berakhir setelah mereka menuju ke Stesen MRT Surian untuk makan tengahari di Hameediyah, restoran nasi kandar yang berdekatan dengan stesen tersebut.











