SATU Persidangan Pengurusan Alam Sekitar 2017 telah dianjurkan di Pusat Latihan MRT Lembah Klang, Sungai Buloh pada 19 Disember 2017. Tema persidangan tersebut ialah ‘The Greening of Kuala Lumpur With MRT’.
Seramai 170 peserta telah menghadiri persidangan ini. Mereka terdiri daripada individu dari Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd (MMC-Gamuda), Kontraktor-Kontraktor Pakej Kerja bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dan beberapa organisasi lain seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan MyHSR Corp.
Persidangan ini dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Dato’ Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim.
Selain daripada merasmikan persidangan ini, Ahmad telah memberi penyampaian utama bertajuk ‘Guided Self-Regulation (GSR)’. Beliau menjelaskan tentang beberapa peraturan yang perlu dipatuhi dalam Projek MRT seperti tahap bunyi dan keadaan tanah hendaklah dipantau. Walau bagaimanapun, polisi dan langkah yang perlu diambil sudah disediakan untuk panduan mudah.
Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Encik Hazrey Tomyang menjelaskan tentang Pelan Induk Teknologi Hijau. Beliau menyatakan bahawa matlamat Pelan Induk Teknologi Hijau adalah untuk mengukuhkan peranan ekonomi hijau dan teknologi hijau sebagai pemangkin aspirasi Malaysia untuk pertumbuhan yang mampan.
Enam sektor utama yang diberi tumpuan dalam Pelan Induk Teknologi Hijau ialah tenaga, perkilangan, pengangkutan, pembinaan, kumbahan dan air. Sektor utama yang paling menarik ialah pengangkutan di mana kerajaan menyasarkan 40% individu menggunakan pengangkutan awam di kawasan Greater Kuala Lumpur. Matlamat ini akan dapat mengurangkan kadar karbon dioksida yang dihasilkan.
Selepas sesi makan tengah hari, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Kuala Lumpur Puan Norlin Ja’afar telah memberi sebuah penyampaian bertajuk ‘Green Transportation and Environmental Requirements.’ Di permulaan penyampaiannya, beliau menyatakan tentang beberapa kata kunci yang berkenaan dengan alam sekitar. Antaranya adalah bandar hijau, di mana Putrajaya disasarkan untuk menjadi sebuah bandar mesra alam. Beliau juga menekankan bahawa pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk memastikan pengangkutan awam juga mesra alam sekitar seperti pengenalan bas BRT. Bas-bas ini beroperasi di Sunway dan menggunakan tenaga elektrik. Ini dapat mengurangkan kadar karbon dioksida kerana bas tersebut tidak menghasilkannya.
Encik Tan Poh Aun, seorang perunding alam sekitar dari SOx NOx Asia Sdn Bhd merupakan penyampai terakhir. Beliau memberikan sebuah penyampaian berkenaan kualiti udara dan berbincang tentang pemilikan kenderaan dan kesan-kesan MRT. Beliau menjelaskan bahawa pada tahun 2030, sebuah program akan diadakan di mana kenderaan 100% akan menjadi Kenderaan Cekap Tenaga. Ia dapat mengurangkan karbon dioksida yang dikeluarkan dari kenderaan. Di samping itu, beliau juga menerangkan tentang sebuah kajian kes berkaitan dengan penggunaan perkhidmatan MRT dari Sungai Buloh ke Bukit Bintang berbanding menggunakan kenderaan persendirian. Selain mengurangkan kos apabila menggunakan perkhidmatan MRT, ia juga akan dapat meningkatkan kualiti udara kerana tren MRT tidak melepaskan karbon dioksida.
Satu acara penyampaian hadiah juga telah dianjurkan ketika persidangan ini.
Sempena Hari Alam Sekitar Malaysia yang diraikan setiap tahun pada 21 Oktober, MRT Corp menganjurkan dua pertandingan bagi meraikan hari tersebut.
Sebuah pertandingan penulisan esei telah dianjurkan pada 20 September 2017 – 7 Oktober 2017. Pertandingan ini dianjurkan dengan bantuan MMC Gamuda dan Kontraktor Pakej Kerja di sepanjang jajaran MRT Laluan SSP. Sebanyak 12 sekolah terlibat dan para pelajar telah mengemukakan penyertaan mereka. Pertandingan ini dibahagikan kepada beberapa kategori dan para pemenang adalah seperti di bawah:
|
KATEGORI
|
BAHASA
|
NAMA
|
SEKOLAH
|
| Tingkatan 1 – Tingkatan 3 |
Bahasa Inggeris
|
Khalishah Iman Kamarudin | SMK Cyberjaya |
| Tingkatan 1 – Tingkatan 3 |
Bahasa Malaysia
|
Wan Nurqistina Balqis | SMK Cyberjaya |
| Tingkatan 4 – Tingkatan 6 |
Bahasa Inggeris
|
Hafiz Mazlan | SMK Cyberjaya |
| Tingkatan 4 – Tingkatan 6 | Bahasa Malaysia | Siti Nurfatin Izzati Fakrurrazi | SMK Putrajaya Presint (2) |
Pertandingan kedua pula ialah pertandingan mencari harta karun oleh MMC-Gamuda. Ia telah melibatkan para pekerja MRT Corp, MMC-Gamuda dan Kontraktor Pakej Kerja di mana mereka perlu menyelesaikan teka-teki dan menaiki keretapi MRT dari Stesen MRT Kwasa Sentral hingga ke Stesen MRT Stadium Kajang. Pasukan ‘BR ECO’ yang terdiri daripada Encik Shukli Suban, Encik Mior Ahmad Syafiq dan Encik Meor Seporamdhan dari MRT Corp telah muncul sebagai juara.
Semua hadirin telah diberikan segulung sijil kehadiran di akhir persidangan ini.













