TUJUH pegawai dari Permodalan Darul Ta’zim telah menaiki tren MRT pada 17 Mei 2017 sempena lawatan ke Projek MRT Lembah Klang.
Delegasi ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Darul Ta’zim Tuan Haji Lukman Abu Bakar.
Mereka tiba di Stesen Semantan pada pukul 9:30 pagi dan disambut oleh Pengarah Strategik Komunikasi dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp Dato’ Najmuddin Abdullah yang telah memberi taklimat ringkas mengenai Projek MRT dan manfaatnya kepada penduduk di Lembah Klang.
Mereka kemudiannya menaiki tren di Stesen Semantan menghala ke Stesen Kwasa Damansara. Sepanjang perjalanan, Najmuddin menjelaskan tentang struktur projek MRT yang boleh diguna pakai untuk projek mereka akan datang.
Di Kwasa Damansara, delegasi telah dibawa melawat di sekitar stesen. Ketua Perhubungan Awam dan Pengurusan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd Encik Zamri Hassan telah mengetuai lawatan dan menunjukkan ciri-ciri stesen tersebut termasuk kawasan letak kereta yang luas bagi pengguna MRT.
Delegasi kemudiannya telah kembali ke Stesen Semantan di mana lawatan tersebut berakhir.





