LIMA pakej kerja subkontrak telah dianugerahkan kepada lima syarikat Bumiputera yang telah ditubuhkan di bawah Program Usahawan Muda MRT (MYEP II) pada 3 April 2018.
Mereka telah dipilih melalui satu cabutan undi yang telah dianjurkan di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya dan disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof.
MYEP II merupakan program 12-bulan yang terdiri daripada sesi latihan intensif profesional industri pembinaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), tiga bulan kursus latihan pengurusan dan motivasi oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan tiga bulan latihan amali di tapak pembinaan di bawah pengurusan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, Rakan Pelaksana Projek bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).
Pada pengakhiran program, 54 individu telah lulus dan menubuhkan 24 syarikat, serta memperolehi lesen CIDB Gred G2.
Sesi cabutan undi untuk lima subkontrak pakej kerja ini adalah permulaan pelbagai sesi cabutan undi yang akan dianjurkan untuk para graduan MYEP II untuk menerima pakej kerja bagi kerja-kerja MRT Laluan SSP.
Jumlah subkontrak yang telah dianugerahkan hari ini bernilai RM 1.9 juta.
Selain daripada itu, 28 pakej kerja lain berjumlah RM 13.62 juta untuk kontraktor Bumiputera MRT Laluan SSP juga telah dicabut undi.







