SATU detik bersejarah telah tercapai. Selepas lebih dari 6 tahun sejak Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan Projek Mass Rapid Transit (MRT) semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-10 di Parlimen, MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) telah secara rasminya dilancarkan di Stesen Tun Razak Exchange pada 17 Julai 2017.
Projek MRT ini merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Nasional untuk membina sistem pengangkutan awam bersepadu di kawasan Greater Kuala Lumpur.
Majlis pelancaran Laluan SBK telah dianjurkan di Stesen Tun Razak Exchange menandakan persiapan keseluruhan projek ini. Sebelum ini, Fasa Pertama jajaran Laluan SBK merangkumi 12 stesen bertingkat meliputi jarak sepanjang 20km telah dilancarkan pada Disember 2016. Dengan pelancaran ini, sebanyak 19 stesen baru berjumlah 31 stesen sepanjang 51km mula beroperasi.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan Menteri, pegawai kanan kerajaan dan wakil dari pelbagai pihak dan organisasi yang terlibat dalam projek MRT. Isteri kepada Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, juga hadir di majlis tersebut.
Menyambut tetamu di Stesen TRX ialah Pengerusi Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Tan Sri Dr Ali Hamsa yang juga merupakan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Sri Shahril Mokhtar, dan barisan kepimpinan MRT Corp. Turut bersama mereka ialah para wakil dari MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd.
MRT Corp merupakan pemaju dan pemilik Projek MRT sementara MMC-Gamuda ialah Rakan Pelaksana Projek Laluan SBK.
Selepas melancarkan Laluan SBK, Najib telah mengumumkan bahawa perkhidmatan percuma akan diberikan untuk perkhidmatan MRT antara Stesen Muzium Negara dan Stesen MRT Kajang hari ini semasa servis bermula pada pukul 4.00 petang. Beliau juga menyatakan bahawa bermula dari 18 Julai 2017 ke 31 Ogos 2017, kesemua kos menaiki keretapi di Lembah Klang akan diberikan diskaun sebanyak 50%.
Dalam ucapan beliau, Najib menyatakan bahawa kejayaan Projek MRT boleh menjadi contoh yang baik kepada projek-projek mega di seluruh dunia kerana ia siap lebih cepat dari jangka masa yang ditetapkan dan di bawah anggaran kos.
Semasa majlis tersebut, MRT Corp juga telah diserahkan Sijil Pengiktirafan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sijil ini adalah untuk mengesahkan MRT Corp telah berjaya melaksanakan 10 inisiatif anti-rasuah di bawah ikrar integriti korporat syarikat.
Penyerahan sijil dilakukan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Dato’ Azam Baki kepada Shahril dan disaksikan oleh Perdana Menteri.
Setelah selesai aktiviti rasmi di Stesen TRX, Perdana Menteri bersama tetamu yang lain telah menaiki keretapi MRT ke Stesen Stadium Kajang, di mana mereka turun dan terus ke Stadium Kajang yang berhampiran untuk bahagian kedua majlis pelancaran tersebut.
Di sini, beliau telah disambut oleh lebih 20,000 orang terdiri daripada kakitangan syarikat dan organisasi yang terlibat dalam Projek MRT. Pegawai kerajaan dan orang awam telah juga hadir untuk meraikan pelancaran Laluan SBK yang merupakan detik bersejarah Malaysia.
Beliau telah menyertai orang ramai untuk makan tengahari dengan hidangan makanan yang terkenal di Kajang, iaitu sate.
Perdana Menteri kemudiannya telah menyerahkan sijil kepada 52 peserta Program Usahawan Muda MRT II (MYEP II). Program ini merupakan kerjasama di antara Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), yang menyediakan latihan amali kepada kontraktor muda Bumiputera dan melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi usahawan di industri pembinaan atau keretapi.
Sebagai sebahagian daripada program ini, para peserta sama ada secara individu mahupun dalam perkongsian, telah membentuk 25 syarikat yang akan dianugerahkan 50 kontrak kerja oleh Kontraktor-Kontraktor Pakej Kerja MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP). Jumlah total kontrak-kontrak ini bernilai RM 250 juta.
Bagi mengakhiri formaliti untuk hari ini, sebuah penyampaian kad Touch ‘N Go telah diberikan kepada peserta dari kategori pendapatan isi rumah B40.

















