Dua buah Bas Perantara MRT telah digunakan sebagai stesen vaksinasi bergerak Covid-19 semasa Program Vaksinasi Jangkauan untuk Orang Asli di Desa Temuan, Damansara Perdana, Petaling Jaya pada 11 Ogos 2021.
Bas-bas tersebut digunakan dalam kerjasama Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk Program Vaksinasi Jangkauan mereka.
Menerusi program ini, PPUM memberikan sokongan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Hospital Orang Asli Gombak bagi program vaksinasi jangkauan Orang Asli di Desa Temuan.
Bas-bas tersebut menempatkan empat stesen vaksinasi bagi wanita manakala stesen vaksinasi lelaki terletak di Dewan Seri Temuan, yang merupakan lokasi utama bagi program vaksinasi jangkauan tersebut.
Anggota perubatan PPUM ditempatkan di dalam bas-bas tersebut dan dilengkapi dengan meja mudah alih dan peralatan lain bagi menjalankan proses vaksinasi. Tempat duduk penumpang di bahagian belakang bas menjadi tempat menunggu bagi mereka yang menunggu giliran untuk disuntik.
Sekitar 200 Orang Asli menerima vaksinasi daripada pagi hingga ke lewat petang. Selain daripada Orang Asli, pekerja asing yang tinggal di kawasan berjiran juga boleh menerima vaksinasi.
Kedua-dua bas tersebut telah dipandu oleh kakitangan Rapid Bus Sdn Bhd. Rapid Bus adalah pengendali perkhidmatan Bas Perantara MRT.
Sebelum ini, bas-bas tersebut juga pernah digunakan untuk menghantar dua buah komuniti lain ke PPUM untuk menerima vaksinasi di bawah program vaksinasi jangkauan tersebut.























