Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) muncul sebagai salah satu pemenang di Persidangan Pengguna Esri Malaysia 2018 yang telah berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2018.
Esri Malaysia merupakan pakar Malaysia dalam teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan secara khususnya, dalam platform ArcGIS Esri yang terkemuka di dunia.
Projek Mass Rapid Transit (MRT) berjaya memenangi Anugerah GeoInovasi, anugerah yang mengiktiraf kedua-dua organisasi awam dan komersial untuk penggunaan inovatif mereka dalam teknologi geospatial bagi menangani cabaran dunia dalam industri dan masyarakat.
Projek ini telah menyingkirkan lebih satu ribu organisasi yang telah dinilai. MRT Corp menerima anugerah ini bersama-sama Perbadanan Putrajaya, Jabatan Kerja Raya Sabah, Bahagian Geospatial Pertahanan, Polis Diraja Malaysia, U Mobile Sdn Bhd dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.
Menggunakan aplikasi teknologi GIS bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) untuk memupuk persekitaran kolaboratif antara pembuat keputusan di seluruh industri pengangkutan, ia telah menetapkan penanda aras untuk organisasi lain yang ingin melaksanakan inisiatif yang sama.
MRT Corp juga merupakan organisasi pertama menggunakan penyebaran GIS berasaskan ‘cloud’ di Asia yang berintegrasi sepenuhnya dengan Pemodelan Maklumat Bangunan dan Pemodelan Realiti untuk memberi sokongan kepada pembinaan MRT Laluan SSP.
MRT Corp diwakili oleh Timbalan Pengurus Besar Jabatan Perancangan dan Reka Bentuk Encik Yeap Beow Heng dan Pengurus Kanan Encik Aswadi Yusof semasa majlis penyampaian.
Semasa persidangan, Aswadi juga memberikan penyampaian bertajuk ‘’Era Baru yang Hebat untuk Reka Bentuk Infrastruktur’. Dalam penyampaian beliau, beliau menjelaskan aplikasi perisian Esri dalam Projek MRT. Menggunakan perisian tersebut, keadaan tanah bagi stesen bawah tanah yang akan dibina untuk projek dapat dinilai sebelum kerja-kerja pembinaan bermula.
Sebuah representasi visual 3D bagi Stesen MRT Titiwangsa juga ditunjukkan kepada penonton untuk pemahaman lebih lanjut penerapan perisian Esri dalam Projek MRT.





