IA merupakan hari yang gemilang bagi Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) apabila muncul sebagai pemenang anugerah Pemodelan Maklumat Bangunan Kategori Kemajuan dalam Rel dan Transit yang telah disampaikan semasa Be Inspired Awards 2017 yang diadakan di Marina Bay Sands, Singapura pada 12 Oktober 2017.
Aplikasi teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan ini digunakan untuk MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).
Makan malam anugerah adalah merupakan sebahagian daripada Persidangan “Year in Infrastructure 2017” anjuran Bentley Systems yang diadakan dari 10 hingga 12 Oktober 2017 di Marina Bay Sands.
Bentley Systems merupakan sebuah syarikat yang memajukan perisian (software) yang memenuhi keperluan profesional yang bertanggungjawab mencipta dan mengurus infrastruktur, termasuklah jalan raya, jambatan, lapangan terbang, bangunan pencakar langit, kilang industri dan janakuasa serta rangkaian utiliti di seluruh dunia.
Satu penyampaian berkenaan aplikasi teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan telah diberikan oleh Timbalan Pengurus Besar Perancangan dan Reka Bentuk MRT Corp Encik Yeap Beow Heng dan Pemodelan Maklumat Bangunan AECOM Malaysia dan Pengarah Eksekutif Pengangkutan Ir Ronan Collins dalam persidangan itu kepada para juri semasa penyampaian para finalis.
Dua organisasi lain yang telah disenarai pendek dalam kategori tersebut adalah China Railway Eryuan Engineering Group Co Ltd dan Jacobs/Zephyr, U.S.A.
Secara keseluruhannya, anugerah tahunan Bentley mempunyai 409 projek yang dicalonkan untuk pelbagai kategori yang terdiri daripada penyertaan dari 52 negara. Tujuan anugerah ini adalah untuk memberi penghargaan kepada pengguna sistem Bentley di atas usaha mereka dalam memajukan reka bentuk infrastruktur, pembinaan dan operasi di seluruh pelusuk dunia.
Semasa di majlis anugerah itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Dato’ Sri Shahril Mokhtar berkata, beliau bangga dengan apa yang telah dicapai oleh pasukan beliau. Kerjasama antara MRT Corp, MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd dan AECOM adalah kukuh dan kami tidak akan dapat mencapai kejayaan sekiranya tiada usaha sama dari semua pihak yang terlibat.





