Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah mengambil bahagian dalam sebuah forum satu hari yang telah dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) berjudul Statistics, Indices in Construction and Automation 2018.
Ia telah diadakan pada 14 Ogos 2018 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
Tema forum ini adalah “Buidling a Big Data Community for Community for Construction in Malaysia” dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya YB Mohd Anuar Mohd Tahir.
Matlamat forum ini adalah untuk membolehkan pemain industri pembinaan membincang dan memperolehi maklumat secara mendalam mengenai potensi analisis Data Besar dalam mentransformasikan industri pembinaan di Malaysia untuk menjadi lebih produktif.
“Data Besar membantu MRT Corp dan rakan pelaksananya untuk membaikpulih proses reka bentuk, mengurangkan risiko dan meningkatkan kecekapan dalam pembinaan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP). Ia juga boleh memberikan pandangan berharga yang boleh mengurangkan gangguan ketika pembinaan dan pengoperasian dengan menggunakan aplikasi pintar dan sensor,” kata Timbalan Pengurus Besar Perancangan dan Reka Bentuk MRT Corp En Yeap Beow Heng semasa pembentangannya.
MRT Corp kini menggunakan Data Besar di dalam Program Kejuruteraan Digital yang terdiri daripada Pemodelanan Maklumat Bangunan (BIM), Sistem Maklumat Geografi (GIS), Rakaman Realiti dan Pengimbasan Laser 3D.
Sejajar dengan inisiatif Data Besar, MRT Corp dan kontraktor pakej kerja bawah tanah Projek, MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd tidak akan menggunakan kertas di semua tapak pembinaan MRT Laluan SSP dan hanya akan bergantung kepada aplikasi mudah alih tapak pembinaan.
Aplikasi sebegini bersama dengan sistem pengurusan pembinaan berasaskan Cloud sedang dikerahkan untuk memudahkan proses kerja mengurangkan aplikasi berasaskan kertas sementara segala aplikasi dan permit tapak pembinaan yang berkaitan dirakan secara digital.

