Sebuah pameran teknologi rel pertama oleh Kementerian Pengangkutan, Ekspo Teknologi Rel (RTX) 2022, buat julung kalinya telah diadakan dari 11 – 14 Ogos 2022, di lokasi strategik iaitu KL Sentral. RTX 2022 bertujuan untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan syarikat berkaitan rel tempatan di samping menggalakkan orang ramai mengoptimumkan pengangkutan awam,
Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), selaku pemilik aset dan pemilik Projek Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT) serta Projek RTS Link di antara Singapura dan Johor Bahru, telah mengambil bahagian di dalam pameran empat hari itu yang juga merangkumi pameran kerjaya, untuk terus mempromosikan projek semasa Syarikat, dalam masa yang sama menyokong aspirasi Kementerian.
Pameran tersebut telah dilancarkan secara rasmi pada 11 Ogos 2022 oleh Menteri Pengangkutan YB Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong dan turut hadir bersama-sama beliau adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Zarif Hashim, bagi pihak MRT Corp.
Dianjurkan bersama Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE), Perbadanan Industri Rel Malaysia (MARIC) dan Agensi Depositori Teknologi (TDA), pameran tesebut menyaksikan penyertaan daripada 55 syarikat terdiri daripada syarikat tempatan dan antarabangsa, termasuk pelbagai agensi Kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi.
Selain daripada mengambil bahagian dalam pameran, MRT Corp menganjurkan sebuah forum bertajuk “Mencarta Jajaran Projek MRT3 Laluan Lingkaran”. Sesi dimulakan oleh Ketua Sistem E&M MRT3 Ir Ridzuan Wahab dan seterusnya dikendalikan oleh Pengarah Pembinaan Sivil MRT3 Encik Alexander William Terry. Forum tersebut memperlihatkan Encik Winston Chan daripada Kumpulan Kejuruteraan Jacobs yang membentangkan topik “Mencarta Bilangan Penumpang dan Peningkatan Teknologi” (Modelling Ridership and the Emerging Technology), manakala Ir. Lawrence Yeap dan Ir. Ts. Sri Viknesh Permalu daripada ARUP Consulting membentangkan topik “Penjajaran MRT3 Laluan Lingkaran” dan “Strategi Operasi Kereta Api Laluan Lingkaran MRT3” masing-masing.
Ketiga-tiga pembentang tersebut telah terlibat di dalam kajian untuk Projek MRT3, dan mereka adalah sebahagian daripada firma perunding yang dilantik oleh MRT Corp.
MRT Corp juga merupakan salah satu daripada 12 syarikat yang telah menyertai Karnival Pameran Kerjaya yang berlangsung pada hari ketiga pameran itu, yang memberi peluang kepada orang ramai untuk meneroka pilihan mereka dengan syarikat itu.
Pameran itu boleh dianggap berjaya kerana banyak firma telah menyatakan minat untuk menyertai projek di bawah MRT Corp, manakala orang ramai berpeluang untuk bertanya secara langsung tentang peluang kerjaya dengan MRT Corp serta mengenali MRT3 Laluan Lingkaran dengan lebih dekat.











