Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), pemilik dan pemaju Projek MRT Lembah Klang, merupakan pemaju infrastruktur pertama di Asia yang telah berjaya mencapai akreditasi Tahap 2 dalam penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).
Akreditasi ini yang menurut Piawaian British, telah dibentangkan oleh Lloyd’s Register, sebuah persatuan klasifikasi antarabangsa tersohor yang menyediakan perkhidmatan profesional dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, untuk penggunaan BIM Tahap 2 bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).
Sijil tersebut diterima oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Dato’ Najmuddin Abdullah daripada Encik Ng Sheng Wa, Pengurus Kanan (Pemeriksaan) Lloyd’s Register dalam satu majlis ringkas di Ibu Pejabat MRT Corp pada 21 Disember 2018.
BIM ialah proses mewujudkan dan menguruskan representasi digital model 3D dan maklumat yang berkaitan untuk menyokong proses membuat keputusan sepanjang kitaran hayat projek. Dengan kawalan dan pengurusan yang betul, proses BIM akan mengurangkan bilangan konflik reka bentuk untuk mengelakkan kos kerja pembaikan yang tinggi.
BIM Tahap 2 melibatkan penggunaan model 3D dan maklumat yang dikongsi bersama dengan semua pihak berkepentingan projek melalui pangkalan data yang sama iaitu Persekitaran Data Bersama (CDE), berbanding dengan BIM Tahap 0 dan BIM Tahap 1 yang tidak menyediakan platform kerjasama. Aliran kerja BIM Level 2 mengoptimumkan kawalan dan ketepatan data projek, dan mempertingkatkan kerjasama reka bentuk, kebarangkalian pembinaan, dan ketepatan maklumat yang dibina dari fasa konsep, reka bentuk, pembinaan dan akhirnya fasa operasi sesuatu projek.
Bagi penggunaan BIM untuk Laluan SSP, sebanyak 2.3 terabait maklumat disimpan di dalam Persekitaran Data Umum berasaskan awan, yang terdiri lebih daripada 70,000 laman model 3D, 200,000 lukisan dan 30,000 dokumen. Data-data ini sentiasa digunapakai secara berterusan oleh lebih daripada 700 pengguna dari pelbagai organisasi yang terlibat dalam projek tersebut.
Antara contoh manfaat BIM dalam sesuatu projek, purata 1,000 konflik dan bentrokan telah dikenalpasti untuk setiap tapak melalui platform ini. Konflik dan bentrokan ini dapat diselesaikan sebelum pembinaan tanpa kerja-kerja abortif dan pemulihan yang mahal.





