Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) meneruskan kerjasama bersama Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan membawa penduduk Pusat Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang ke Pusat Vaksinasi UMMC pada 30 Julai 2021.
Ini adalah aktiviti kedua Program Khidmat Vaksinasi berikutan kejayaan membawa ahli-ahli RC Deaf Missions Malaysia pada minggu lalu.
Sebuah Bas Perantara MRT Laluan Putrajaya telah digerakkan untuk membawa 10 orang penduduk untuk menerima vaksin Covid-19.
Para penduduk dijemput daripada pasar pagi berhampiran kediaman mereka dan dibawa ke pusat vaksinasi yang terletak di Menara Selatan, PPUM. Proses vaksinasi berjalan dengan lancar dan mereka dihantar pulang ke kediaman mereka di Lembah Subang menaiki Bas Perantara MRT yang sama.
Menerusi kerjasama dengan PPUM ini MRT Corp berharap lebih ramai orang dapat menerima vaksin, dalam memberi sokongan penuh kepada Program Imunisasi Nasional Covid-19 (PICK) Kerajaan.







