MAJLIS menandatangani memorandum persefahaman untuk meningkatkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Projek MRT Lembah Klang telah diadakan di Pusat Latihan KVMRT di Sungai Buloh pada 28 September 2015.
Memorandum persefahaman tersebut telah dimeterai oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, CIDB Holdings Sdn Bhd dan Institut Kebangsaan Keselamatan dan Kesihatan (NIOSH).
MRT Corp dan MMC Gamuda adalah pemilik projek dan rakan pelaksana projek untuk MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, laluan kedua Projek MRT Lembah Klang, manakala CIDB Holdings dan NIOSH akan membantu dalam aspek modul latihan.
Memorandum persefahaman telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Pengarah MRT Corp Dato’ Sri Shahril Mokhtar, Pengarah MMC Gamuda Dato’ Azmi Mat Nor, Ketua Pegawai Eksekutif CIBD Holdings Sr Abdul Latif Hitam dan Pengarah Eksekutif NIOSH Ir Rosli Hussin.
Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Pengerusi CIBD Holdings Dato’ Sri Prof Ir Dr Judin Abdul Karim.
Antara skim yang akan diperkenalkan di bawah program latihan OSH adalah Skim Pasport Keselamatan, Skim Master Trainer dan Skim Penilaian Prestasi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar.
Latihan akan diadakan di Pusat Latihan KVMRT yang telah dilancarkan dengan rasminya oleh Fadillah selepas majlis menandatangani memorandum. Beliau telah menandatangani plak untuk menandakan pembukaan secara rasmi pusat latihan tersebut.
Menteri Kerja Raya dan para hadirin yang lain juga beri lawatan pameran dan kemudahan yang terdapat di pusat latihan. Antara bahan yang dipamerkan termasuk cara mendirikan abah-abah, pemasangan penghadang bunyi dan penyimpanan bahan bakar dengan betul.
Makan tengahari disediakan kepada hadirin selepas selesai sesi lawatan.









