SATU DELEGASI Kementerian Pengangkutan telah membuat lawatan ke beberapa tapak Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) Antara Johor Bahru dan Singapura sempena bermulanya kerja pembinaan.
Lawatan yang berlangsung pada 23 November 2021 itu bermula di tapak Depoh Wadi Hana di mana Ketua Pembinaan Awam RTS Link, Encik Asnan Ayob memberi taklimat kepada 25 delegasi yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Bahagian (Darat) Kementerian Pengangkutan Encik Muhammad Asraf Sukadi. Ketua Pengarah Rel Kementerian Pengangkutan Encik Shahriman Shafein turut hadir.
Bagi pihak Pasukan Projek RTS Link, Ketua Program, Perancangan dan Kawalan Encik Tan Mun Kit, Ketua Awam, Sistem dan Antaramuka Encik Azlan Mahmud dan Ketua Perhubungan Pihak Berkuasa dan Pihak Berkepentingan Encik Redzelan Mohamad turut hadir ke lawatan itu.
Selepas Wadi Hana, delegasi menuju ke Stesen Bukit Chagar dan tapak Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin. Di sana, mereka berpeluang untuk melihat bermulanya kerja-kerja Ujian Awal Cerucuk (PTP) yang sedang dijalankan di tapak.
Delegasi kemudiannya melawat jajaran di sepanjang Jalan Tun Razak dan melihat penempatan semula saluran paip air 900mm. Tapak menarik yang dilawati ialah pantai di Stulang di mana jejambat laut akan dibina merentasi Selat Johor ke Singapura.
Lawatan berakhir dengan delegasi kembali ke Pejabat MRT Corp Johor Bahru.













