SATU lawatan ke Projek Mass Rapid Transit (MRT) telah dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Encik Mohd Azharuddin Mat Sah pada pagi 16 Jun 2017.
Delegasi ini turut disertai oleh beberapa warga kerja dari Prasarana Malaysia dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
Mereka telah diketuai oleh Pengarah Projek MRT Sungai Buloh-Kajang Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Encik Marcus Karakashian dan Pengarah Terowong dan Stesen Bawah Tanah Laluan SBK Encik Keith Allenby.
Lawatan ini telah bermula dari Ibu Pejabat SPAD yang terletak di Platinum Sentral.
Mereka kemudiannya berjalan menghala ke Stesen MRT Muzium Negara melalui laluan pejalan kaki yang menghubungkan stesen dari Platinum Sentral. Laluan ini merupakan salah satu daripada laluan pejalan kaki yang telah dibina di stesen ini.
Sebaik sahaja tiba di Stesen MRT Muzium Negara, mereka meneruskan perjalanan dengan menaiki keretapi dan turun di Stesen MRT Merdeka. Di sini, para delegasi telah melawat sekitar stesen.
Nancy kagum dengan ciri ikrar kebangsaan yang terpapar di dinding aras ruang legar stesen.
Satu lawatan ke Stesen Kajang telah diadakan dan Marcus telah menunjukkan integrasi yang berkesinambungan antara perkhidmatan MRT dan KTM kepada Nancy dan Azharuddin.
Lawatan itu berakhir dengan perjalanan keretapi kembali ke Stesen MRT Muzium Negara.











