SEBUAH taklimat mengenai perobohan dan pemindahan Kuarters Polis Sentul telah dianjurkan untuk media pada 26 September 2017.
Diadakan di tapak Kuarters Polis Sentul itu sendiri, taklimat ini bermula dengan maklumat terkini kemajuan Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) diikuti oleh pembentangan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan untuk perobohan dan pemindahan.
Pihak media juga berpeluang untuk menyaksikan sebuah demonstrasi kaedah perobohan yang digunakan.
Pengarah Projek Laluan SSP Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Dato’ Amiruddin Ma’aris memulakan taklimat dengan berkongsi kemajuan pembinaan keseluruhan Laluan SSP yang berada pada tahap 13.7% dan menepati jadual.
Menurut beliau, kemajuan bahagian bawah tanah adalah di tahap 16.1% dan kerja-kerja mengorek terowong dijangka akan bermula pada suku pertama tahun 2018.
Untuk bahagian bertingkat, Amiruddin memberitahu yang pembinaan telah selesai sebanyak 11.1%.
Amiruddin kemudiannya meneruskan pembentangan dengan menerangkan bahawa bangunan ini perlu dirobohkan kerana asas tapak kuarters berusia 40 tahun ini yang terdiri daripada dua blok 16 tingkat, menghalang laluan terowong Laluan SSP.
Amiruddin berkata 270 keluarga yang menetap di kuarters tersebut kini ditempatkan sementara di pangsapuri Teratai Residence di Setapak sementara menunggu kuarters polis yang baharu di Taman Keramat AU1, dijangka siap pada Disember 2018.
Encik Mohd Fuad Kamal Ariffin, Pengurus Besar, MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT), kontraktor bawah tanah untuk Laluan SSP menambah yang perumahan sementara mereka dibiayai oleh Projek dan mereka diberi bantuan seperti bas sekolah untuk anak-anak ke sekolah yang sudah mereka hadiri.
Dari segi keselamatan, Amiruddin menyatakan proses perobohan ini mengikut piawaian keselamatan yang tertinggi, bermula pada Jun 2017 dan akan selesai menjelang Disember 2017.
Dua kaedah telah digunakan untuk merobohkan bangunan ini, menurut Encik Chris Fenton, Ketua Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar MGKT.
Fenton menerangkan bahawa untuk tiga lantai teratas, bangunan ini dipotong menjadi kepingan menggunakan pemotong berlian dan kemudiannya diturunkan oleh kren. Setelah lantai ini dialihkan, jentera penghancur pula digunakan untuk merobohkan lantai lain.
Pihak media kemudiannya diberikan sebuah demonstrasi bagaimana jentera penghancur merobohkan lantai.
Sesi soalan dan jawapan menyusul kemudian dan taklimat ini berakhir dengan jamuan ringan.









