Pelancaran Kempen Kesedaran Pencegahan Anti-Rasuah di Pengangkutan Awam telah disempurnakan pada 22 November 2021 di Stesen MRT Muzium Negara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) Sdn Bhd.
Kempen ini adalah sebuah kerjasama di antara SPRM dan MRT Corp, selari dengan pendirian kukuh Kerajaan menentang rasuah. Ia telah dilancarkan bersama oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim.
Kerjasama tersebut membabitkan poster kempen berbentuk cetak dan digital dengan mesej anti-rasuah dipamerkan di 48 panel atas dan 48 panel dinding dalam tren dan 81 panel digital stesen-stesen bawah tanah MRT Laluan Kajang untuk empat bulan akan datang, diikuti dengan balutan luaran badan tren (wrap) dijangka pada tahun hadapan 2022.
Dalam majlis itu, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki dan Datuk Mohd Zarif Hashim menarik tirai yang mempamerkan poster kempen, dan seterusnya menandatangani poster itu sebagai tanda kerjasama antara kedua-dua organisasi.
Hadir semasa majlis tersebut ialah Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM Tuan Kamarudin M Ripin dan Pengurus Besar Kanan SIRIM QAS International Sdn Bhd Tuan Haji Mohd Hamim Imam Mustain.
Dalam majlis yang sama, MRT Corp telah menerima sijil ISO 37001:2016 (Sistem Pengurusan Anti Rasuah) atas kejayaan audit pensijilan semula. Mohd Hamim menyampaikan sijil bagi pihak SIRIM QAS International sebagai juruadit, kepada Ketua Pegawai Integriti dan Tadbir Urus MRT Corp Dato’ Zainal Adam. MRT Corp telah menerima pensijilan ISO 37001:2016 (Sistem Pengurusan Anti Rasuah) sejak 2018.
Kempen ini juga telah membuka laluan bagi MRT Corp untuk memperluaskan liputan dan kesinambungan pensijilan ini dengan merangkumi orang awam, selain daripada Lembaga Pengarah and Barisan Kepimpinan MRT Corp serta kontraktor, vendor dan lain-lain.
Sijil ABMS (ISO 37001:2016) menunjukkan bahawa sesebuah organisasi mempunyai proses untuk menghindari sebarang bentuk kos, risiko dan juga kemungkinan kerosakan yang mungkin berlaku andai berlakunya rasuah, secara tidak langsung memberikan kepercayaan dan jaminan kepada pihak berkepentingan dan rakan perniagaan iaitu organisasi tersebut bebas daripada elemen rasuah.
Tidak lama selepas itu, para tetamu dibawa melawat sekitar ruang legar dan platform stesen untuk melihat poster kempen yang dipaparkan pada panel digital di sekitar Stesen MRT Muzium Negara. Kemudian, mereka dibawa menaiki tren Tren Khas MRT yang memaparkan poster kempen cetak di dalam tren yang menghala ke Stesen MRT Stadium Merdeka. Lawatan tersebut berakhir tidak lama kemudian.











