Naib Menteri Pengangkutan Republik Korea, Encik Hwang Seong Kyu melawat MRT Laluan Putrajaya (PY) pada 5 April 2022 untuk pemahaman yang lebih baik tentang pembinaan dan perancangan sistem tren.
Encik Hwang mengetuai delegasi yang terdiri daripada wakil dari Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Republik Korea, Korea Expressway Corporation dan ITS Korea untuk lawatan ke stesen-stesen MRT Sri Damansara Sentral dan Kampung Batu. Beliau juga berpeluang untuk menaiki tren antara dua stesen itu.
Pengarah Projek Laluan PY Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, Dato’ Amiruddin Ma’aris menjadi tuan rumah kepada pengunjung yang diiringi oleh Encik Muhammad Ashraf Sukadi, Timbalan Setiausaha Bahagian Tanah Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Tuan Syed Mohamad Azani Syed Mohamad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Rel Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Dato’ Amiruddin telah menyampaikan taklimat mengenai Projek tersebut dengan memberikan maklumat terkini serta butiran mengenai Stesen MRT Sri Damansara Sentral. Beliau juga mengiringi pengunjung melawat stesen, menunjukkan kemudahan yang ada di mana Encik Hwang mengambil peluang untuk menguji Mesin Tiket Layan Diri.
HAP Consortium, Kontraktor Pakej Kerja untuk Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan, Pengujian & Pentauliahan Tren Elektrik Dan Peralatan Depoh turut menyampaikan taklimat mengenai tren elektrik kepada delegasi Korea.
Para delegasi kemudiannya menaiki tren ke Stesen MRT Kampung Batu di mana mereka berhenti untuk sesi fotografi sambil melihat panorama pusat bandar. Dato’ Amiruddin meneruskan lawatan ini dengan mengetuai tinjauan di stesen.
Lawatan berakhir selepas penyampaian momento oleh Dato’ Amiruddin kepada En Hwang sebagai tanda penghargaan untuk lawatan tersebut.















