PADA 21 April 2015, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah mengadakan majlis untuk penghabisan kerja-kerja terowong untuk Laluan Klang Valley MRT Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) di Stesen MRT Pasar Seni.
Peristiwa penting ini tercipta apabila sebuah mesin pengorek terowong berjaya menembusi tembok kekotak Stesen MRT Pasar Seni buat kali terakhir pada 11 April 2015, menandakan penghabisan kerja-kerja terowong untuk bahagian bawah tanah laluan ini.
Mesin Variable Density ini yang dinamakan Pudu 1, adalah mesin yang pertama dilancarkan untuk projek ini. Ia telah dilancarkan pada 30 Mei 2015 oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak di tapak kerja Cochrane.
“Ia sesungguhnya peristiwa penting untuk Projek MRT kerana jurutera-jurutera kami berjaya menjalankan kerja-kerja terowong dengan lancarnya. Ia juga memperlihatkan penggunaan teknologi baru, iaitu Mesin Pengorek Terowong Variable Density,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Dato’ Sri Shahril Mokhtar.
“Walau bagaimanapun, tamatnya kerja-kerja terowong tidak bermakna tamatnya kerja pembinaan bawah tanah untuk Projek ini. Kami masih perlu melengkapkan pembinaan tujuh stesen bawah tanah yang sedang berjalan lancar,” tambah beliau.
Tetamu kehormat majlis, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, berkata: “MRT memberikan manfaat besar untuk penduduk Kuala Lumpur. Pertumbuhan penduduk akan menyebabkan penambahan kereta di jalan raya dan adalah amat bagus sekiranya ada sistem pengangkutan awam yang baik. Oleh sebab itu, saya amat gembira dengan kemajuan Projek setakat ini.”
Beliau juga menyatakan bagaimana pengangkutan awam yang lebih baik mampu merangsangkan industri pelancongan Kuala Lumpur.
“Akses dan mobiliti di persekitaran pusat bandar akan bertambah baik, tanpa menambah kesesakan yang sedia ada. Saya berharap agar bandaraya ini lebih berjaya dengan pengangkutan awam yang lebih baik.” kata beliau. Mesin ini telah mengorek terowong dengan jarak 4.4 km; yang terpanjang di antara lapan mesin yang digunakan untuk pembinaan Laluan SBK.
Mesin ini telah menembusi dinding kekotak stesen dan syaf di tiga lokasi – Syaf Pudu, Stesen MRT Merdeka dan Stesen MRT Pasar Seni. Mesin ini juga telah mengorek terowong di bawah tapak pembinaan Stesen Tun Razak Exchange dan Stesen MRT Bukit Bintang.
Terowong yang digali oleh mesin ini akan digunakan untuk tren yang menghala utara, menuju ke Sungai Buloh. Pada keseluruhannya, mesin Pudu 2 telah membina 3,039 gelang pelapik terowong.













