KERJA-KERJA terowong bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) secara rasminya telah bermula pada 1 Mac 2018, apabila Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak melancarkan mesin pengorek terowong (TBM) pertama yang akan digunakan untuk projek ini.
TBM ini, yang merupakan mesin pertama dari dua belas TBM yang akan digunakan untuk Laluan SSP telah dilancarkan di Syaf Pelancaran Bandar Malaysia North di Bandar Malaysia.
Bersama Perdana Menteri ialah Ketua Setiausaha Negara yang juga merupakan Pengerusi Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Dato’ Sri Shahril Mokhtar.
Turut hadir dalam majlis pelancaran ini ialah Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Sri Nancy Shukri, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Encik Mohd Azharuddin Mat Sah.
Untuk melancarkan TBM, Perdana Menteri telah memulas kunci dan menekan butang yang terdapat di konsol dan ini telah membunyikan siren serta membolehkan kepala pemotong TBM di syaf pelancaran berhampiran mula berputar.
Selepas melancarkan TBM, Perdana Menteri dan para tetamu kehormat telah pergi melihat TBM dari dek tinjauan yang berada di hujung pelancaran.
TBM yang telah dilancarkan hari ini merupakan TBM Terowong Pembolehubah Ketumpatan (Variable Density TBM) yang telah direka khas untuk menghadapi pembinaan terowong melalui pembentukan geologi batu kapur yang amat mencabar di Lembah Klang.
TBM yang canggih ini merupakan kerjasama di antara MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd selaku kontraktor kerja-kerja bawah tanah untuk MRT Laluan SSP dengan pengeluar TBM terkemuka Herrenknecht AG di Jerman.
Lapan dari dua belas TBM telah dibaik pulih dan digunakan untuk kerja-kerja bawah tanah MRT laluan pertama, MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK). TBM ini merupakan mesin pertama yang dibaikpulih di Malaysia. Pembaikpulihan mesin ini telah dijalankan di Waiko Engineering Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan yang terletak di Pusing, Perak. Malahan, ia merupakan satu-satunya kemudahan pembaikpulihan TBM di Asia Tenggara.
Empat TBM telah dibeli dari Herrenknecht Tunneling Machinery Co. Ltd, Guangzhou, China. Dengan penambahan TBM, risiko untuk TBM berhenti dapat dikurangkan. Ia juga boleh mengurangkan penangguhan bagi pembinaan stesen dan kesan domino.
Selain daripada melancarkan TBM, Najib juga telah merasmikan Pusat Informasi MRT Bandar Malaysia. Pusat informasi ini dibuka kepada orang awam dan memaparkan papan informasi yang sama seperti di Seri Kembangan dan Jalan Sultan Azlan Shah. Informasi tambahan berkait dengan kerja-kerja bawah tanah dan TBM juga terdapat di pusat informasi ini.











