ORANG ramai di sekitar Bentong telah diberi peluang untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang projek MRT apabila Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menyertai Karnival MOT yang telah dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan pada 24 Mac 2018.
Diadakan buat julung kali, karnival sehari itu telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Liow Tiong Lai dan menjadi program hab informasi bagi MRT Corp untuk menyampaikan maklumat lanjut kepada penduduk tempatan berkenaan Projek MRT.
Trak Informasi MRT telah dihantar ke karnival itu untuk mempamerkan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di mana pegawai informasi dari kedua-dua MRT Corp dan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, sebagai Rakan Pelaksana Projek bekerjasama untuk menyebarkan informasi dengan menjawab pertanyaan dan mengedarkan brosur.
Lebih daripada 800 orang telah melawat trak yang juga menganjurkan permainan serta risalah tentang kekosongan pekerjaan yang ada di MRT Corp.
Aktiviti ini adalah bersempena dengan pameran kerjaya yang telah dianjurkan untuk mempromosikan peluang kerjaya dan program latihan yang disediakan oleh kerajaan terutamanya dalam industri pengangkutan dan logistik.
Ini adalah tambahan kepada pelbagai aktiviti lain yang telah diatur di karnival seperti pertandingan mewarna dan pertandingan sukan.
Selain MRT Corp, lebih daripada 20 agensi kerajaan telah mengambil bahagian dalam karnival itu.





