SEKUMPULAN 40 delegasi dari Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) telah membuat lawatan teknikal berkenaan sistem Mass Rapid Transit (MRT) Lembah Klang pada 23 Mac 2017.
Lawatan ini bertujuan untuk membolehkan kakitangan JKR mengetahui tentang pelaksanaan dan operasi Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).
Lawatan ini bermula di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara, di mana Pengarah Projek Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Sungai Buloh-Kajang (SBK) Encik Marcus Karakashian, memberi taklimat ringkas kepada para delegasi. Mereka kemudiannya menaiki keretapi ke Stesen MRT Kwasa Damansara sebelum menaiki bas pengantara ke Pusat Kawalan Operasi (OCC). Sepanjang perjalanan, beliau menerangkan lebih lanjut tentang laluan SBK dan bagaimana ia berkembang ke tahap ini.
Apabila tiba di OCC, delegasi tersebut telah dibawa ke bilik pembentangan untuk mendapatkan pemahaman lanjut berkenaan operasi laluan SBK daripada Ketua Operasi Landasan MRT Laluan SBK Azmi Mohd Zin. Delegasi JKR daripada bahagian Cawangan Kerja Bangunan Am 1 ini teruja untuk mengetahui pengalaman dan cabaran laluan SBK yang MRT Corp dan pengendalinya RapidRail Sdn Bhd telah lalui.
Delegasi tersebut juga diberi taklimat berkenaan pengendalian sistem operasi keretapi automatik serta ciri-ciri keselamatan sistem MRT.
Selepas hidangan jamuan ringan, delegasi JKR tersebut menaiki kereta api kembali ke Stesen MRT Pusat Bandar Damansara.









