ENAM PULUH jurutera dari Institution of Civil Engineers (ICE) Malaysia Chapter telah mempelajari tentang Projek Mass Rapid Transit (MRT) melalui sebuah seminar yang telah dianjurkan pada 29 dan 30 Jun 2018. Turut hadir ialah beberapa pelajar dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya.
Seminar ini adalah sebahagian dari program ICE Malaysia Chapter CPD yang julung kalinya dianjurkan di Malaysia.
Bertajuk ‘Engineering and Construction Mass Rapid Transportation in Malaysia: A Case Study of MRT 2’, seminar tersebut memberi fokus kepada pembinaan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP).
Hari pertama seminar telah diadakan di Auditorium Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya. Ucapan pembukaan telah dilakukan oleh Ketua Pegawai Operasi Opus International (Malaysia) Dr Tony Chan.
Pengarah Perancangan dan Reka bentuk MRT Laluan SSP Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Er Poh Seng Tiok pula memberi penyampaian tentang penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) untuk Laluan SSP.
BIM merupakan proses mencipta dan menguruskan maklumat projek pembinaan sepanjang kitaran hidup projek itu dalam persekitaran maya. Ia membolehkan pengguna untuk menggambarkan, bekerjasama dan menganalisis setiap aspek dalam reka bentuk kejuruteraan.
MRT Corp telah memanfaatkan teknologi BIM ini yang membolehkan penukaran maklumat dan kolaborasi waktu nyata di antara pihak berkepentingan, membolehkan Laluan SSP disiapkan tepat pada masanya dan dalam lingkungan belanjawan yang ditetapkan.
MMC- Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT) sebagai Kontraktor Pakej Kerja Bawah Tanah untuk projek, telah diwakili oleh Pengurus Besar Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Encik Christopher Fenton yang memberi penyampaian tentang langkah keselamatan untuk kerja-kerja bawah tanah. Insiden yang berlaku di bawah tanah adalah lebih berbahaya berbanding dengan kerja di jajaran bertingkat projek, oleh itu mengenal pasti bahaya adalah sangat penting.
Memahami keadaan geologi yang berbeza untuk kerja-kerja terowong di Kuala Lumpur adalah penting dalam memastikan langkah-langkah keselamatan yang telah diambil.
MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, selaku Rakan Pelaksana Projek bagi projek ini diwakili oleh Pengarah Projek Encik Param Sivalingam untuk memberi penyampaian di seminar ini. Beliau telah menerangkan cabaran harian yang dilalui dalam projek tersebut dan juga langkah-langkah untuk mengatasinya.
Para hadirin berpengalaman sendiri menyaksikan kerja-kerja bawah tanah dalam projek ini pada hari kedua seminar.
Dibahagikan kepada dua kumpulan seramai tiga puluh orang sekumpulan, mereka telah dibawa ke Pusat Informasi MRT Bandar Malaysia Utara untuk mendapatkan maklumat terperinci berkenaan kerja-kerja bawah tanah projek.
Selepas menerima informasi, para hadirin diberikan peluang untuk meninjau keadaan Stesen Bandar Malaysia Utara. Mereka telah diiringi oleh individu-individu dari MGKT.
Seminar dua hari ini telah dilihat sebagai satu kejayaan dan ahli-ahli ICE berterima kasih di atas usahasama semua pihak.











