Projek Laluan Lingkaran MRT3 atau MRT3 Circle Line Project telah diperkenalkan kepada para media, perunding, penggiat industri dan pihak berkepentingan lain di dalam satu sesi yang dianjurkan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) pada 13 April 2021.
Sesi tersebut, yang berjudul “Insights: MRT3 Circle Line”, diadakan di Platform Performing Arts Theatre, Kuala Lumpur untuk menyampaikan pelan dan visi keseluruhan Projek Laluan Lingkaran MRT3.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim menjadi hos sesi itu di mana beliau memulakan penyampaian dengan memperkenalkan Projek sebagai tidak sama daripada mana-mana projek pembinaan sebelum ini kerana ia akan digabungkan dengan program sosio-ekonomi dan bertindak sebagai pemangkin untuk mengubah ekonomi negara.
Beliau berkongsi ciri-ciri jajaran MRT3 yang bukan sahaja memberi perkhidmatan kepada penumpang di sepanjang Lembah Klang tetapi juga mengangkut barang untuk menyokong rantaian bekalan.
MRT Corp akan bekerjasama dengan penggiat industri seperti pemaju hartanah dan kementerian serta agensi kerajaan yang berkaitan untuk membangun dan melaksanakan program untuk memajukan ekonomi demi kepentingan rakyat, tambah beliau.
Salah satu contoh program ini yang dijelaskan oleh Datuk Mohd Zarif adalah pembinaan rumah mampu milik melalui Pembangunan Berasaskan Transit (TOD) serta kebangkitan dan pertumbuhan semula bandar.
“Masa optimum untuk menyiapkan Projek adalah 10 tahun, yang akan dijalankan secara berfasa di mana setiap fasa akan mempunyai stesen yang saling berhubung dengan landasan kereta api sedia ada”, kata Datuk Mohd Zarif mengenai tempoh pembinaan Projek.
Beliau memaparkan kelebihan pembangunan ekonomi yang MRT3 boleh berikan seperti rantai bekalan yang diedarkan, pembangunan pembekal, teknologi dan perusahaan tempatan.
Beliau berkata bahawa Projek MRT3 juga diharap dapat mencapai salah satu objektif nasional iaitu mengurangkan ketergantungan kepada pekerja asing. Objektif tersebut akan dicapai dengan mengubah kaedah pembinaan dengan bergerak ke arah pembuatan pembinaan dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) serta Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).
Pendekatan ini juga akan membanugnkan penduduk tempatan yang berkemahiran tinggi sehingga mewujudkan pasaran eksport dan membantu pembangunan industri tempatan, beliau berkata.
Datuk Mohd Zarif menyebut berkenaan dengan pembinaan rel, mewujudkan pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) akan turut membantu Malaysia menjadi pusat serantau dalam bidang ini.
Datuk Mohd Zarif kemudian menghabiskan lebih dari satu jam untuk menjawab soalan dari para hadirin di mana beliau mengambil kesempatan untuk menghuraikan dengan lebih lanjut perkara yang telah dikemukakan sebelumnya.







